Huawei telah melancarkan tablet baharunya di Malaysia, Huawei MatePad 11.5-inci S PaperMatte Edition yang menawarkan paparan dengan kadar penyegaran semula yang tinggi dan bebas silau bersama-sama pemprosesan Kirin di dalamnya. Tablet ini ditawarkan dengan dua pilihan warna – Space Grey dan Violet.
Tumpuan utama tablet ini terletak paparannya, panel LCD IPS 11.5-inci beresolusi 2,800 x 1,840 piksel dalam nisbah aspek 3:2 yang berkeupayaan menawarkan kadar penyegaran semula skrin 144Hz. Ia juga mempunyai nisbah kontras 1500:1, liputan penuh warna gamut DCI-P3 dan nisbah badan-ke-kerangka 87%.
Oleh kerana paparannya PaperMatte, skrinnya ini juga anti-pantulan dengan ‘punaran anti-silau berskala nano’ yang menurut Huawei mengurangkan 99% interferens cahaya. Ditambah lagi dengan ‘lapisan optikal nano magnetron’, tahap pengurangan kesan pantulan skrinnya dipertingkatkan lagi sebanyak 60%.
Huawei MatePad 11.5″ S PaperMatte Edition dikuasakan oleh pemprosesan lapan teras Huawei Kirin 9000WL yang digandingkan dengan RAM 8GB dan storan 256GB. Ia menggunakan sistem operasi HarmonyOS 4.2 yang turut menyokong penggunaan berbilang tetingkap dan Huawei SuperHub.
Baterinya pula berkapasiti 8,800mAh yang juga menyokong pengecasan pantas 22.5W. Juga disediakan sebuah kamera utama 13MP f/1.8 pada bahagian belakangnya, serta kamera hadapan 8MP f/2.0 untuk kegunaan panggilan video.
Teknologi nirwayar Huawei NearLink yang baharu digunakan untuk menyambungkan Huawei M-Pencil (Generasi Ketiga) dengan tablet berkenaan. M-Pencil ini memberikan pengguna lebih dari 10,000 tahap penderiaan tekanan untuk kejituan tinggi dan kelewahan rendah apabila digunakan untuk menghasilkan karya seni digital mahupun mencatat nota.
Huawei Smart Magnetic Keyboard juga disambungkan melalui NearLink untuk sambungan yang lebih mudah bagi tujuan menulis, melukis dan menaip melalui sokongan lebih dari 40 kekunci pintas. Penggunaan aksesori ini juga membolehkan tablet ini diubah ke tiga bentuk, seperti bentuk laptop, bentuk separa dan juga bentuk studio.
Lain-lain ciri yang disediakan pada tablet ini termasuklah empat pembesar suara dengan sokongan Huawei Histen 9.0, dwi-mikrofon dan sokongan Wi-Fi 6 dan Bluetooth 5.2 untuk ketersambungan nirwayar.
Harga Huawei MatePad 11.5″ S PaperMatte Edition
Pra-tempahan Huawei MatePad 11.5″ S PaperMatte Edition mula dibuka pada 18 Jun 2024 sehingga 28 Jun 2024. Anda berpeluang untuk menerima berkas papan kekunci Huawei Smart Magnetic Keyboard, Huawei M-Pencil (Generasi Ketiga), tetikus nirwayar, Huawei FreeBuds 5i dan baucar bernilai sehingga RM200.
Boleh didapati dengan hanya satu pilihan konfigurasi sahaja iaitu, RAM 8GB dan storan 256GB, tablet seberat 510g ini dijual pada harga RM2,499 menerusi Huawei Experience Stores, laman web rasmi Huawei Malaysia dan juga di Shopee dan Lazada.