realme secara rasminya telah mengesahkan tarikh pelancaran telefon pintar siri C baharunya, C65 ke pasaran tempatan. Menampilkan paparan rata, sisi yang rata serta tri-kamera, rekaan telefon pintar ini mirip dengan telefon pintar Samsung Galaxy S22.
Diperkenalkan di pasaran Vietnam beberapa bulan yang lalu, realme C65 menampilkan paparan LCD 6.6-inci beresolusi 720p dengan kadar penyegaran semula 90Hz dan kecerahan puncak 625 nits.
Untuk perisiannya, telefon pintar ini hadir dengan sokongan gestur udara dan ciri Mini Capsule. Ia juga mempunyai perlindungan air dan debu melalui penarafan kerintangan IP54.
realme C65 menggunakan MediaTek Helio G85 dengan RAM sehingga 8GB dan storan sehingga 256GB. Setakat ini tidak dapat dipastikan apakah konfigurasi yang akan ditawarkan di pasaran Malaysia kelak.
Dari sudut fotografinya, telefon pintar berharga bajet ini menampilkan kamera utama 50MP, kamera makro 2MP serta sebuah kamera dihadapannya, 8MP. Ia dikuasakan oleh bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 45W.
realme C65 akan hadir ke pasaran Malaysia pada 4 Julai 2024 dan berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan, telefon pintar ini akan hadir dengan dua warna pilhan iaitu hitam dan ungu. Ia juga akan didatangkan bersama-sama dengan realme Fluency Certification selama 48-bulan yang menjamin pengalaman penggunaan yang lancar dan bebas lag untuk sekurang-kurangnya empat tahun.