Kementerian Komunikasi menyarankan mana-mana individu yang berdepan tindakan penapisan platform digital, seperti akaun disekat atau hantaran dipadam, agar memfailkan rayuan rasmi. Tindakan tersebut boleh dilakukan menerusi Tribunal Rayuan Komunikasi dan Multimedia dan Keselamatan Dalam Talian.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, menjelaskan inisiatif tribunal tersebut membolehkan mana-mana pengguna mencabar tindakan serta keputusan yang dirasakan tidak adil. Ia termasuk tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau menyatakan demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan majlis sumbangan 235 pelajar cemerlang SPM di Johor Bahru semalam.

Tribunal secara ad hoc (sementara dan khusus) ini adalah bebas dan tidak dipengerusikan mahupun dihakimi oleh para pegawai dari MCMC.

Bagi menjamin keadilan, pendengaran rayuan akan dipengerusikan oleh seorang hakim daripada Mahkamah Tinggi Malaysia. Beliau akan turut dibantu oleh sekurang-kurangnya dua orang ahli tribunal yang lain.

Mekanisme tribunal membenarkan pengadu memfailkan rayuan pada kos yang jauh lebih rendah berbanding proses mahkamah biasa. Di samping mengelakkan tempoh prosedur undang-undang yang terlalu panjang.

Platform ini juga memberi ruang rasmi kepada pengguna media sosial untuk mempertahankan diri. Hujah-hujah yang munasabah juga boleh dikemukakan pengguna tentang mengapa kandungan digital mereka tidak sepatutnya diturunkan.

Tinggalkan komentar