Microsoft telah melancarkan aplikasi khusus Windows baru-baru yang direka untuk digunakan dengan peranti-peranti Android dan juga Apple khusus untuk macOS, iOS dan iPadOS.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, aplikasi Windows ini juga boleh diakses bukan sahaja hanya dari peranti Android, malah boleh juga dari PC-PC Windows. Ia membolehkan anda mendapatkan salinan sistem operasi Windows secara penstriman dari pelbagai sumber seperti 365, Azure Virtual Desktop, Remote Desktop.
Aplikasi tersebut buat masa ini masih lagi terhad untuk akaun sekolah dan pekerjaan Microsoft. Ini kerana aplikasi ini direka untuk klien Remote Desktop sedia ada dan sistem operasi lain. Untuk itu, anda masih menggunakan aplikasi Remote Desktop Connection yang pada ketika ini masih lagi sebahagian daripada Windows 11.
Setakat ini tiada maklumat tentang bilakah Microsoft merancang untuk menyokong akaun pengguna biasa untuk aplikasi baharu ini. Ia masih boleh dimuat turun melalui Microsoft Store jika menggunakan Windows dan juga di Apple App Store. Versi Android hanya mula memasuki mod pratonton awam dalam minggu ini dan terbitan penuh aplikasi ini dijangka mengambil sedikit masa lagi.