Awal minggu ini YouTube telah mengesahkan pengguna-penggunanya akan mula menonton iklan ketika video sedang dijedakan (paused). Hal ini tidak akan memberikan kesan terhadap pengguna yang melanggan perkhidmatan Premium platform penstriman video tersebut.
Bagaimanapun, pelanggan yang membayar perkhidmatan ini kelak perlu mengeluarkan belanja yang lebih apabila YouTube Premium mengumumkan kenaikan harga langganan bulanannya.
Pelan Individu YouTube Premium kini berharga RM20.90 sebulan dengan pelan Famili pula harganya meningkat kepada RM41.90 sebulan. Sebelum ini kedua-dua pelan tersebut harganya masing-masing RM17.90 dan RM33.90 sebulan. Malah harga langganan bagi pelan Student juga tidak terkecuali yang meningkat dari RM10.90 kepada RM12.90 sebulan.
Perubahan ini dilihat dilaksanakan serta-merta bagi pengguna yang masih belum melanggan YouTube Premium. Bagi yang sudah melanggan, perubahan ini mungkin akan didapati di dalam kitaran bil berikutnya.
Selain Malaysia, pelanggan-pelanggan YouTube Premium di negara-negara lain seperti Singapura juga mengalami kenaikan harga langganan pelan-pelan masing-masing. Menurut YouTube, kenaikan harga ini dilakukan bagi membolehkan kecemerlangan perkhidmatan dan ciri-ciri yang ditawarkan dapat diteruskan. Pun begitu, kebanyakan pengguna sedia maklum langkah menaikkan harga ini adalah bagi memenuhi kehendak pemegang taruh majoriti yang sentiasa ingin mengejar keuntungan maksima.