Microsoft telah mengumumkan satu kaedah pemulihan sistem baharu untuk komputer Windows 11. Melalui kaedah ini pengguna boleh memasang semula sistem operasi (OS) secara terus melalui awanan (cloud).

Fungsi pemulihan baharu yang dinamakan Cloud Rebuild ini direka khusus untuk mengembalikan komputer kepada keadaan asal yang bersih dan stabil dengan melaksanakan pemasangan semula OS.

Berbeza dengan kaedah konvensional, ciri ini akan memuat turun OS Windows berserta pemacu peranti (device drivers) secara automatik. Ia seterusnya akan melaksanakan pemasangan ketika proses pemulihan sedang berjalan. Proses tersebut dilakukan tanpa memerlukan sebarang pemacu pemasangan USB luaran.

Penyelamat untuk Sistem Gagal But

Fungsi Cloud Rebuild ini mempunyai kelebihan berbanding ciri pemulihan Reset this PC sedia ada. Kaedah baharu ini memuat turun kedua-dua sasaran imej Windows dan pemacu peranti terus daripada Windows Update.

Ini membolehkan komputer dihidupkan semula dengan sempurna tanpa media USB, dan tanpa imej tersuai (custom image). Ia juga tidak bergantung kepada status kesihatan OS yang sedang dipasang di dalam komputer tersebut.

Walaupun fungsi Reset this PC mempunyai pilihan muat turun awannya yang tersendiri, ia hanya boleh digunakan apabila OS Windows di dalam keadaan masih boleh but (bootable). Ia juga hanya memperoleh pemacu peranti secara setempat.

Dalam senario kritikal di mana sistem tidak lagi boleh but, pilihan Cloud Rebuild bertindak sebagai penyelesaian paling berkesan untuk menyelamatkan peranti tersebut.

Cloud Rebuild tidak menawarkan sebarang pilihan untuk menyimpan aplikasi dan fail peribadi sedia ada. Tidak seperti Reset this PC yang membenarkan data pengguna dikekalkan selepas proses tetapan semula, fungsi Cloud Rebuild memfokuskan sepenuhnya kepada pemasangan bersih (clean slate) OS Windows dan pemacu perantinya.

Tinggalkan komentar