Microsoft dilaporkan sedang menguji kemas kini baharu untuk fungsi tetingkap carian atau Windows Search yang menjanjikan pengalaman carian yang lebih bersih, teratur, dan bebas daripada lambakan cadangan yang mengganggu.

Syarikat teknologi itu kini memberi fokus untuk mengurangkan serabut visual serta memberikan kawalan privasi yang lebih baik kepada penggunanya.

Antara Muka Lebih Teratur dan Informatif

Menerusi kemas kini baharu ini, ruang utama carian akan digunakan sepenuhnya untuk memaparkan senarai carian terkini pengguna sebelum sebarang kata kunci ditaip. Sebelum ini ia hanya mengambil separuh daripada ruang tetingkap.

Apabila pengguna memilih (highlight) sesuatu fail, ruang kosong yang sebelum ini memaparkan cadangan kini akan memaparkan pratonton (preview) dan metadata fail tersebut.

Keutamaan Kepada Pencarian Fail Setempat

Satu penambahbaikan yang amat dialu-alukan adalah keutamaan sistem untuk memaparkan hasil carian fail setempat (di dalam PC pengguna). Ini kerana ciri carian sedia akan memaparkan kandungan web atau aplikasi daripada aplikasi gedung Microsoft Store.

Selain itu, Microsoft turut membersihkan paparan untuk hasil carian web. Keputusan carian kelak hanya akan memaparkan jawapan yang paling relevan di bahagian atas dan menyisihkan paparan iklan seperti “produk dan promosi berkaitan” (related products and promotions). Walau bagaimanapun, Microsoft dilihat masih meletakkan paparan ringkasan kecerdasan buatan (AI overview) di atas keputusan carian web sebenar.

Bagi pengguna yang masih menggemari fungsi sedia ada dan mahu melihat cadangan carian daripada web dan Microsoft Store, ciri tersebut tidak dimatikan sepenuhnya. Pengguna mempunyai pilihan fleksibel untuk menghidupkan semula fungsi ini melalui tetapan komputer dengan mengakses pilihan: Settings > Privacy & security > Search.

Buat masa ini, versi fungsi carian yang lebih teratur ini belum bersedia untuk dilancarkan kepada umum. Microsoft sedang melakukan fasa ujian secara berperingkat kepada kumpulan penguji Windows Insiders yang berada di bawah saluran Eksperimen (Experimental channel). Syarikat tersebut belum mengumumkan sebarang anggaran masa mengenai pelancaran rasmi untuk kemas kini ini kepada pengguna global.

Tinggalkan komentar