Microsoft kembali lagi dengan mengacah ‘Windows 11’. Kali ini menerusi video baharu di YouTube tentang koleksi bunyi-bunyi ketika Windows dihidupkan berdurasi 11 minit. Kesemua bunyi tersebut telah digerak perlahankan sehingga 4,000 peratus dari kadar normalnya.

Tujuan ianya diperlahankan sebegitu rupa dikatakan bagi mewujudkan suasana ketenangan apabila mendengarnya, menurut Microsoft. Tapi, ianya kelihatan lebih kepada untuk memberikan petunjuk mengenai ‘Windows 11’ berdasarkan durasi penuh video tersebut.

Selain video tersebut, Microsoft juga memberikan bayangan mengenai nama ‘Windows 11’ dengan menyatakan pengumuman sistem operasi baharu tersebut kelak akan diumumkan pada jam 11 pagi waktu Pantai Timur Amerika Syarikat.

Para eksekutif Microsoft telah pun memberikan bayangan mengenai Windows generasi berikutnya sejak berbulan sebelum ini. Video baharu yang diterbitkan ini juga merupakan antara 11 iklan acah yang akan terus diterbitkan menjelang acara pelancarannya nanti.

Kebanyakan pihak menjangkakan Microsoft akan memperkenalkan versi baharu Windows yang membawakan perubahan besar terhadap antaramukanya. Microsoft juga sedang mengusahakan sesuatu di bawah nama kod “Sun Valley”. Ianya bakal membawakan perubahan besar terhadap paparan visual keseluruhan sistem operasi dari Microsoft ini nanti.

Segalanya akan kita ketahui pada 24 Jun ini apabila Microsoft membuat pengumuman rasmi mengenai Windows generasi berikutnya.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.