Utama Microsoft Cara mematikan widget ‘Berita dan Cuaca’ di dalam Windows 10

Cara mematikan widget ‘Berita dan Cuaca’ di dalam Windows 10

1722
0

Jika anda mengaktifkan tetapan kemaskini automatik di dalam Windows 10, anda mungkin mendapati terdapat penambahan baharu pada bahagian taskbar iaitu widget ‘News and Interests’.

Penambahan fungsi baharu ini diperkenalkan sejak kemaskini versi 1909 Windows 10 baru-baru ini. Widget yang memberikan maklumat berkenaan berita semasa dan ramalan kaji cuaca ini kadangkala menjengkelkan bagi sesetengah pengguna.

Hal ini secara tidak langsung menunjukkan apa yang tidak kena dengan Windows 10 iaitu tiada konsistensi di dalam elemen reka bentuknya. Ciri ini pada saya tidak mendatangkan manfaat yang besar bagi pengguna umum. Malah, ia lebih menyakitkan hati pengguna kerana akan membuatkan desktop pengguna kelihatan lebih serabut.

Saya tidak mengatakan #MicrosoftGagal di dalam hal ini, cuma sedikit kecewa dengan penambahan yang tidak diperlukan pengguna ini.

Apa pun, widget ini boleh dimatikan oleh pengguna melalui langkah-langkah berikut:

  1. Klik kanan pada mana-mana bahagian di dalam taskbar Windows 10 anda.
  2. Pilih News and interests
  3. Klik Turn off.

Jika anda merasa menyesal kerana membuang widget ini dan ingin menghidupkannya semula, anda boleh melakukannya dengan cara berikut:

  1. Klik kanan pada mana-mana bahagian di dalam taskbar Windows 10 anda.
  2. Pilih News and interests
  3. Pilih Show icon and text (jika anda memilih Show icon only, ia akan memaparkan ikon cuaca kecil sahaja tanpa teks disebelahnya)

Anda juga boleh memilih untuk widget berkenaan tidak memaparkan berita semasa kita melalui (hover) pada atas ikon tersebut. Caranya adalah dengan:

  1. Klik kanan pada mana-mana bahagian di dalam taskbar Windows 10 anda.
  2. Pilih News and interests
  3. Nyah tanda (untick) pada Open on hover.

Diharapkan panduan ini sedikit sebanyak membantu sesetengah pengguna yang lebih gemarkan keadaan desktop yang lebih kemas dan teratur tanpa sebarang gangguan pada pandangan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.