Beberapa bulan selepas diperkenalkan buat kali pertama di acara Google I/O 2026, Google kini mengumumkan penawaran rasmi Gemini Spark untuk pasaran Malaysia. Ejen kecerdasan buatan (AI) ini kini tersedia kepada pelanggan pelan langganan Google AI Pro dan Google AI Ultra.
Google menyatakan Gemini Spark berfungsi sebagai ejen AI peribadi yang beroperasi secara 24 jam sehari. Ia dibangunkan khusus untuk membantu pengguna menguruskan tugasan digital yang kompleks dan memakan masa mengikut arahan yang diberikan.
Berbeza dengan pembantu AI konvensional yang secara lazimnya memerlukan pengguna untuk sentiasa memantau dan berinteraksi sehingga tugasan selesai, Gemini Spark mempunyai keupayaan untuk terus bekerja di latar belakang (background).
Menurut syarikat teknologi tersebut, ejen AI ini boleh menyambung proses kerja secara automatik di awan (cloud) walaupun peranti komputer riba telah ditutup atau dikunci, malah berterusan beroperasi semasa pengguna sedang tidur.
Dikuasakan Oleh Gemini 3.6 Flash dan Integrasi Workspace
Dipacu oleh model Gemini 3.6 Flash, kekuatan utama ejen ini terletak pada integrasinya yang menyeluruh dengan ekosistem awan Google. Keupayaan ini membolehkannya mengakses aplikasi Google Workspace.
Antaranya Gmail, Google Docs, dan Google Sheets secara terus tanpa memerlukan sebarang tetapan tambahan (zero setup) daripada pengguna.
Penyepaduan tersebut membolehkan Gemini Spark mengambil alih pelbagai tugasan pentadbiran yang leceh untuk pihak pengguna. Antara kebolehan utama yang diserlahkan termasuk:
- Mengimbas peti masuk Gmail untuk mengumpulkan bil, resit, serta senarai langganan dari bulan-bulan sebelumnya dan menyusunnya ke dalam senarai yang rapi.
- Mengenal pasti langganan percubaan percuma (free trials) yang hampir tamat tempoh.
- Melabel atau memberi amaran sekiranya terdapat sebarang perkhidmatan langganan yang mengalami kenaikan harga.
Bukan itu sahaja, AI ini boleh ditugaskan untuk menggeledah maklumat tentang acara-acara menarik di sekitar sesebuah kawasan yang ditetapkan. Melalui arahan tambahan, ia berupaya memindahkan kompilasi maklumat tersebut secara automatik ke dalam perisian Google Docs, lengkap dengan butiran acara, anggaran masa perjalanan, dan pautan rujukan penting bagi kemudahan pada masa akan datang.
Pilihan Pakej dan Akses Pengguna
Kemudahan Gemini Spark bakal mula ditawarkan kepada pengguna Google AI Pro dan Google AI Ultra di Malaysia menjelang penghujung minggu ini.
Bagi anda yang berminat memanfaatkan ekosistem automasi baharu ini, Google memperincikan dua pilihan langganan:
- Google AI Pro: Berharga RM97.90 sebulan, disertakan bersama kapasiti storan awan bersaiz 5TB.
- Google AI Ultra: Berharga RM429.99 sebulan, menyasarkan keperluan tugasan berat dengan penawaran storan awan premium sebesar 20TB.











