Perodua telah mengumumkan pemotongan harga bagi model paling mampu miliknya, Perodua Axia, yang berkuat kuasa serta-merta. Melalui penstrukturan semula ini, model generasi kedua yang dilancarkan pada Februari 2023 kini boleh dimiliki pada harga bermula RM33,900 berbanding harga asal RM38,600.

Pemotongan harga ini merangkumi kesemua varian moden generasi kedua dengan kadar penjimatan yang berbeza mengikut kawasan.

Berikut adalah senarai harga baharu untuk Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur:

Varian Semenanjung Malaysia (Baharu / Asal) Malaysia Timur (Baharu / Asal)
Axia 1.0 G RM33,900 / RM38,600 RM35,900 / RM40,600
Axia 1.0 X RM38,500 / RM40,000 RM38,500 / RM42,000
Axia 1.0 SE RM43,000 / RM44,000 RM45,000 / RM46,000
Axia 1.0 AV RM49,000 / RM49,500 RM51,000 / RM51,500

Tiada Perubahan Spesifikasi

Walaupun harga dikurangkan dengan ketara, Perodua menegaskan tiada sebarang kompromi atau perubahan dilakukan ke atas spesifikasi dan standard kualiti Axia.

Pemotongan harga ini dapat direalisasikan sepenuhnya hasil daripada kecekapan operasi syarikat automotif nasional tersebut. Usaha meningkatkan keberkesanan operasi ini turut menyumbang kepada pengurangan kos penyelenggaraan (servis) serta semakan semula harga untuk perkhidmatan berkaitan seperti penawaran Battery as a Service (BaaS).

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Zainal Abidin Ahmad, semakan harga ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan syarikat untuk membantu meringankan tekanan kos sara hidup rakyat Malaysia.

Beliau menjelaskan penstrukturan harga baharu ini adalah hasil kerjasama erat dengan pembekal tempatan dan rakan kongsi dalam ekosistem automotif. Pihak Perodua turut menzahirkan penghargaan kepada semua vendor dan pengedar atas sokongan mereka dalam meningkatkan kecekapan kos demi kebaikan industri dan rakyat secara keseluruhan.

Bagi varian asas Axia E, yang sering dipanggil ‘Axia Rahmah’, harganya kekal pada RM22,000 tanpa sebarang penurunan. Varian ini masih menggunakan rekaan model generasi pertama yang dioptimumkan untuk segmen pembeli bajet.

Walaupun terdapat khabar angin yang mendakwa pengeluaran Axia E akan ditamatkan, tiada sebarang kenyataan rasmi yang mengesahkan perkara tersebut. Buat masa ini model berkenaan masih disenaraikan di platform rasmi Perodua.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.