Fungsi chat WhatsApp sememangnya sudah memiliki ciri enkripsi hujung-ke-hujung, namun bagaimana pula dengan sandaran (backup) dalam taliannya? Menurut WABetaInfo, fungsi ini sedang diuji melalui beta WhatsApp untuk Android terkini, 2.21.15.5.
Melalui ciri ini kelak, segala isi kandungan di dalam chat pengguna tidak dapat diintip oleh mana-mana pihak terutamanya penggodam.
Namun begitu, pengguna terlebih dahulu perlu mewujudkan kata laluan berasingan untuk mendapatkan kembali fail chat sandaran anda. Fail tersebut tidak dapat diperoleh semula jika anda kehilangan telefon pintar anda atau terlupa kata laluan tersebut.
Anda juga boleh mewujudkan kekunci enkripsi 64-digit sebagai alternatif untuk mendapatkan semula fail sandaran chat WhatsApp anda, tetapi anda perlu memastikan ia tidak dihilangkan.
Tidak dapat dipastikan jika WhatsApp akan menyertakan fungsi sandaran awanan dengan enkripsi hujung-ke-hujung ini pada kemaskini akan datang.
Penambahbaikan baharu ini dilihat seiring dengan sebuah lagi fungsi baharu WhatsApp yang akan diperkenalkan kelak iaitu penyegerakan berbilang peranti. Melalui penambahbaikan dari segi kemudahan pengguna dan keselamatan ini diharapkan dapat meningkatkan keyakinan pengguna terhadap platform permesejan popular ini.