AmBank telah mengumumkan kad kreditnya kini disokong pada Google Wallet dan membolehkan para pelanggan bank berkenaan untuk menggunakan kad masing-masing bagi tujuan pembayaran secara nirtunai di premis-premis perniagaan menggunakan telefon pintar melalui Google Pay.
Google Wallet secara rasminya telah dilancarkan di Malaysia pada tahun lepas. Pada ketika itu, ia hanya menyokong sebilangan kad-kad sahaja dari CIMB, Hong Leong dan HSBC. Sokongan tersebut seterusnya diperluaskan kepada Standard Chartered, Wise dan kini AmBank bersama-sama kad kesetiaan maya Bonuslink.
Menurut halaman soalan-soalan lazim yang diterbitkan, dompet maya ini menyokong semua kad Ambank dan Ambank Islamic kecuali kad kredit UnionPay dan kad debit Mastercard.
Kad yang sama juga boleh pada sehingga 10 peranti. Untuk kad-kad suplimentari pula ia perlu ditambah ke dalam aplikasi berkenaan secara berasingan. Kad-kad yang ditambahkan juga boleh diaktifkan dengan segera, namun dalam beberapa keadaaan ia mungkin mengambil masa sehingga 10 minit.
Melalui penambahan terkini Ambank untuk sokongan Google Pay ini, Maybank masih lagi menjadi salah satu bank-bank utama di Malaysia yang masih belum menawarkan sokongan untuk platform pembayaran nirtunai tersebut. Dijangkakan sokongan pembayaran melalui Google Pay bakal hadir ke bank-bank utama dalam masa yang terdekat ini.