Utama Android Samsung Galaxy A15 dan Galaxy A25 dilancarkan secara rasminya; Tampilkan rekaan ‘Key Island’

Galaxy A15 dan Galaxy A25 dilancarkan secara rasminya; Tampilkan rekaan ‘Key Island’

405
0

Samsung secara rasminya telah mengumumkan Galaxy A15 dan Galaxy A25 di Vietnam hari ini. Telefon pintar baharu berkenaan menampilkan ciri rekaan baharunya yang dinamakan sebagai “Key Island”.

Telefon pintar berharga mesra bajet Galaxy A15 hadir dengan dua varian iaitu 4G LTE dan 5G. Kedua-duanya menampilkan ciri yang hampir sama kecuali pada cipsetnya. Galaxy A15 4G dikuasakan oleh MediaTek Helio G99 dengan varian 5G pula dikuasakan oleh MediaTek Dimensity 6100+.

Selain itu, Galaxy A15 4G ditawarkan dengan RAM 8GB bersama-sama pilihan storan 128GB atau 256GB. Manakala varian 5G pula hanya hadir dengan satu sahaja konfigurasi iaitu RAM 8GB dan storan 256GB. Pun begitu, penawaran RAM tersebut bergantung di mana ia dipasarkan kelak.

Kedua-dua varian ini menampilkan kamera utama 50MP, kamera ultra lebar 5MP dan kamera berkedalaman 2MP. Kamera hadapannya pula mempunyai resolusi 13MP.

Paparannya pula hadir dalam bentuk Super AMOLED 6.5-inci dengan beresolusi 1080 x 2340 piksel, kadar penyegaran semula 90Hz, kecerahan 800 nits dan juga Vision Booster. Telefon pintar dengan antaramuka One UI 6.0 ini juga mempunyai bateri berkapasiti 5,000mAh yang turut menyokong pengecasan 25W.

Spesifikasi Galaxy A25

Seterusnya untuk Galaxy A25, telefon pintar menawarkan varian 5G sahaja ini menggunakan pemprosesan Exynos 1280 dan tersedia di pasaran Vietnam dengan pilihan RAM 6GB atau 8GB bersama-sama storan 128GB. Ia dikuasakan oleh bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 25W.

Paparan AMOLED FHD+ bersaiz 6.5-inci yang disediakan pada telefon pintar ini mempunyai kecerahan 1,000 nits selain lebih lancar melalui kadar penyegaran semula skrin 120Hz bersama-sama antaramuka One UI 6.0.

Untuk fotografinya, Galaxy A25 menawarkan tri-kamera dengan kamera utama 50MP yang disokong oleh OIS. Ia juga mempunyai kamera ultra-lebar 8MP dan kamera berkedalaman 2MP. Kamera hadapannya pula ditawarkan dengan 13MP.

Kesemua model Galaxy A15 dan Galaxy A25 ini mempunyai sensor pengimbas cap jari pada bahagian sisinya yang terbenam pada bingkai “Key Island”.

Di Vietnam, bermula dari 16 Disember ini, Galaxy A25 dijual pada harga VND6590000 (~RM1,272) untuk RAM 6GB dan storan 128GB. Manakala Galaxy A15 pula ia dijual pada harga VND 4,990,000 (~RM936) untuk varian 4G LTE dan VND 6,290,000 (~RM1,213) untuk varian 5G.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.