Google telah mengeluarkan notis kemas kini kepada pengguna berhubung perubahan polisi Storan Akaun Google mereka.

Berdasarkan maklumat daripada halaman sokongan rasmi Google, bermula dalam tempoh 43 hari lagi, semua data sandaran peranti (device backups) yang merangkumi mesej SMS, sejarah log panggilan, tetapan dan lain-lain fail peranti akan dijumlahkan bersama ke dalam kapasiti storan akaun pengguna.

Langkah baharu ini bermakna data sandaran telefon pintar kini akan berkongsi ruang secara langsung dengan kuota percuma 15 Gigabait (GB) yang disediakan.

Secara purata, saiz data sandaran peranti ini biasanya tidak terlalu besar dan dianggarkan mengambil ruang sekitar 50 Megabait (MB) atau 0.05GB sahaja.

Bagaimanapun, perubahan ini mungkin memberikan kebimbangan bagi pengguna yang kini berada di ambang memaksimumkan penggunaan had kuota percuma mereka.

Kesan Sekiranya Melebihi Kuota

Sekiranya kapasiti Storan Akaun Google pengguna melebihi kuota percuma 15GB, sistem Google akan menghentikan fungsi sandaran secara automatik.

Kesannya, pengguna tidak lagi dibenarkan memuat naik sebarang fail mahupun mencipta fail dokumen yang baharu menerusi perkhidmatan Google.

Bagi menyelesaikan isu ini, pihak syarikat menyarankan agar pengguna mengosongkan ruang storan dengan memadam fail lama atau membeli kapasiti tambahan.

Polisi Pemadaman Data

Walaupun peringatan melebihi kuota akan diberikan secara berkala, pengguna tidak perlu panik kerana Google tidak akan memadamkan data mereka secara serta-merta.

Tindakan pemadaman data peribadi hanya akan dilaksanakan sekiranya akaun pengguna telah melebihi had kuota secara berterusan selama dua tahun atau lebih.

Sebelum sebarang proses pemadaman kekal dilakukan, pihak Google tetap akan memberikan peluang kepada pengguna untuk memuat turun fail-fail mereka terlebih dahulu.

Bagi individu yang berminat untuk menaik taraf saiz ruang simpanan, Google turut menawarkan beberapa pelan langganan.

Sebagai rujukan, pelan peringkat paling asas yang ditawarkan pada masa ini ialah Google Storage Lite. Pelan ini memberikan kapasiti 30GB pada harga serendah RM3.50 sebulan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.