Penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) Google Gemini dalam kalangan rakyat Malaysia mencatatkan peningkatan luar biasa apabila jumlah penggunanya melonjak dua kali ganda dalam hanya beberapa bulan kebelakangan ini.
Pertumbuhan pesat ini didedahkan melalui Gemini Report Southeast Asia 2026 yang dikeluarkan oleh Google, sekali gus menyumbang kepada pangkalan pengguna aktif bulanan global platform tersebut yang kini mencecah 900 juta orang.
Laporan tersebut menyatakan aplikasi ini semakin popular dalam kalangan Generasi Z. Malaysia kini mendahului pasaran Asia Tenggara sebagai pengguna utama AI visual, di mana penjanaan imej kreatif semakin menjadi tumpuan. Secara khusus, satu daripada lima pengguna tempatan dilaporkan aktif menggunakan ciri Nano Banana untuk tujuan penjanaan imej.
Selain penjanaan visual, interaksi berasaskan teks juga menunjukkan perkembangan yang sangat positif. Statistik teknologi terkini merekodkan penggunaan arahan (prompts) dalam Bahasa Melayu telah meningkat sebanyak dua kali ganda pada awal tahun 2026.
Dari segi tabiat akses peranti, 75 peratus daripada keseluruhan permintaan di rantau Asia Tenggara kini berpunca daripada peranti mudah alih. Trend ini menggambarkan keperluan masyarakat yang lebih selesa berinteraksi dengan AI secara pantas menerusi telefon pintar mereka untuk urusan harian.
Secara keseluruhannya di peringkat Asia Tenggara, Gemini telah membantu mencetuskan produktiviti kreatif yang besar dengan lebih 5 bilion imej dan 1 juta lagu berjaya dijana oleh pengguna di seluruh rantau ini.
Bagi menampung keperluan pengguna yang mahukan akses kepada ciri AI yang lebih canggih, Google turut melancarkan perkhidmatan Spark Age tic AI (Ejen AI Spark) yang dikhususkan untuk pengguna di peringkat Ultra. Perkhidmatan tahap premium ini ditawarkan pada harga RM97.90 sebulan, memberi peluang kepada pelanggan untuk menikmati keupayaan kecerdasan buatan yang lebih menyeluruh.













