Apple kini dilaporkan sedang di dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan rundingan bersama OpenAI, menurut sumber. Syarikat yang berpangkalan di Cupertino berkenaan dikatakan akan menggunakan ChatGPT untuk menguasakan sebahagian ciri berkaitan AI yang ditawarkannya di dalam iOS 18.
Bagaimanapun, sumber berkenaan menyatakan kedua-dua pihak masih lagi belum bersedia untuk mengumumkan rundingan tersebut secara rasmi. Laporan sebelum ini mendakwa Apple mengadakan perbincangan bersama Google untuk menggunakan chatbot berkuasa AI, Gemini. Kemungkinan besar Apple sedang mempertimbangkan penawaran yang ada di dalam industri buat masa ini.
Khabar angin terbaru mengatakan Apple akan cuba menawarkan kebanyakan ciri-ciri AI ke dalam perantinya. Pemprosesan fungsi tersebut dilakukan oleh cip peranti tersebut kebanyakannya dengan selebihnya akan diuruskan oleh pusat-pusat data Apple. Ini memberikan Apple kelebihan kepadanya dari segi kepantasan dan juga privasi. Cuma, perkara ini mungkin agak sukar direalisasikan jika Apple mengadakan kerjasama dengan OpenAI.