Utama Android Huawei Qualcomm sahkan Huawei tidak lagi perlukan Cipnya dan telah mula Buat Sendiri

Qualcomm sahkan Huawei tidak lagi perlukan Cipnya dan telah mula Buat Sendiri

131
0

Qualcomm, syarikat peneraju semikonduktor dari Amerika Syarikat baru-baru ini telah mengesahkan Huawei tidak lagi memerlukan pemprosesan buatannya. Pengumuman tersebut hadir ketika ketegangan hubungan antara Amerika Syarikat dan China berhubung sekatan perdagangan dan teknologi.

Perkara tersebut telah disahkan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Qualcomm yang menyatakan Huawei tidak akan membuat pembelian pemprosesan 5G daripada pihaknya lagi. Perkembangan ini menunjukkan terdapat perubahan ketara dalam industri teknologi global.

Hubungan antara Huawei dan Qualcomm selama ini sering melibatkan kerjasama dan juga persaingan yang sihat. Huawei yang ditubuhkan pada 1987 oleh Ren Zhengfei pada asalnya menumpukan pada pembuatan peralatan telekomunikasi dan kemudian secara beransur-ansur memperluaskan operasinya ke peringkat global.

Hubungan antara Huawei dengan Qualcomm

Kejayaan syarikat Huawei dalam mengembangkan perniagaannya banyak disumbangkan oleh kerajaan China dalam bentuk pinjaman dana dan juga dasar yang mengutamakan syarikat tempatan.

Manakala Qualcomm yang ditubuhkan pada 1985 pula merupakan pemain utama di dalam industri komunikasi nirwayar dan semikonduktor. Inovasi syarikat tersebut seperti pembangunan teknologi CDMA pada 1989 dan pengenalan pemprosesan Snapdragon pada 2007 telah membawa kepada perubahan yang amat besar di dalam lanskap teknologi.

Hubungan antara kedua-dua syarikat mula berubah kepada persaingan apabila Huawei mula menghasilkan pemprosesan dan modemnya sendiri. Persaingan tersebut kian memuncak apabila Huawei membuat pelaburan besar-besaran terhadap teknologi komunikasi 5G.

Bagaimanapun, selepas sekatan perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat membuatkan Huawei tidak lagi mempunyai akses untuk teknologi utama yang diperlukannya untuk menghasilkan pemprosesan buata sendiri. Atas sebab itu, Huawei terpaksa bergantung kepada pemprosesan Qualcomm untuk tempoh beberapa tahun walaupun hanya pemprosesan 4G sahaja.

Mengurangkan kebergantungan teknologi luar

Keputusan Huawei untuk tidak lagi bergantung dengan pemprosesan Qualcomm merupakan satu langkah strategik bagi menghentikan kebergantungannya. Huawei buat masa ini sedang giat membangunkan pemprosesan buatannya terutamanya Huawei Kirin yang digunakan di dalam telefon pintar keluarannya.

Anjaka ini dilihat sebagai tindak balas kepada ketegangan hubungan dan sekatan perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap Huawei dari mendapatkan akses ke teknologi dan komponen yang termaju.

Peralihan ini juga membawa kepada penghasilan telefon pintar mercu keluarannya yang terkini, Huawei Pura 70. Menurut laporan, telefon pintar ini menggunakan komponen-komponen yang majoritinya dihasilkan di China.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.