Utama Komputer Cara membuat Fail Zip dan membuka (Unzip) di dalam PC Windows 10

Cara membuat Fail Zip dan membuka (Unzip) di dalam PC Windows 10

8130
0

Anda mungkin pernah mendengar perkataan “zip” sebelum ini dan ia merupakan salah format fail yang digunakan untuk memampatkan fail bagi tujuan menjimatkan ruangan storan dan juga untuk edaran melalui internet (contoh: emel atau pautan Google Drive dsb).

Buat masa ini, terdapat banyak perisian pihak ketiga yang mampu menguruskan fail mampatan zip. Namun, bagi anda yang menggunakan Windows 10, anda mungkin tidak memerlukan perisian tambahan kerana sistem operasi ini mempunyai sokongan untuknya yang terbina dalam.

Bagi anda yang ingin menjimatkan ruangan storan pemacu anda atau ingin mengecilkan saiz fail yang ingin dihantar melalui internet, panduan ini mungkin dapat membantu anda memampatkan fail secara zip menggunakan fungsi di dalam Windows 10.

Cara membuat fail zip untuk menjimatkan ruang storan

Untuk memampatkan fail menggunakan zip, lakukan langkah-langkah berikut;

  1. Buka File Explorer
  2. Pergi ke lokasi bersama-sama item-item yang ingin anda mampatkan dengan zip
  3. Klik kanan pada mana-mana ruangan kosong, pilih New dan klik pada Compressed (zipped) Folder.
  4. Masukkan nama untuk folder berkenaan dan tekan Enter.
  5. Pilih fail-fail dan folder-folder yang anda ingin mampatkan secara zip.
  6. Klik kanan pada pilihan item yang telah dibuat dan pilih Cut
  7. Tekan dua kali pada folder yang baru di’zip’kan tadi.
  8. Klik kanan padanya pilih Paste.

Anda boleh menambahkan lagi fail-fail ke dalam folder zip berkenaan dengan mengulangi langkah 5, 6 dan 7.

Cara untuk Unzip Fail di dalam Windows 10

Memandangkan Windows 10 menyokong fail zip secara terbina dalam, alatan yang disediakannya juga boleh digunakan untuk menyahmampat (unzip) fail-fail berformat zip. Fail-fail yang telah dizipkan ini pastinya anda perlu unzip terlebih dahulu sebelum ianya boleh digunakan.

Jika anda tidak membuat unzip, anda tidak boleh edit dan meminda kandungan di dalam dokumen berkenaan. Untuk perisian pula, fail instalasi yang masih berzip tidak boleh dimulakan proses instalasinya.

Terdapat dua cara untuk mengekstrak fail dari folder-folder berzip:

Menggunakan wizard Extract All

Untuk mengekstrak seluruh fail dari folder berzip, lakukan langkah berikut;

  1. Klik kanan pada folder yang telah dizipkan (compressed, zipped).
  2. Pilih Extract All dari menu konteks
  3. Secara default, fail-fail yang telah dizipkan akan diekstrak ke dalam lokasi yang sama dengan folder berzip berkenaan. Walaubagaimanapun anda boleh memilih butang Browse untuk memilih ke lokasi lain.
  4. Tandakan pada kotak Show extracted files when complete.
  5. Klik Extract

Menggunakan File Explorer

Untuk mengekstrak keseluruhan fail atau satu-persatu dari folder berzip, anda boleh melakukannya seperti berikut;

  1. Klik dua kali pada folder berzip
  2. Pilih fail-fail yang anda inginkan
  3. Klik kanan padanya dan pilih Cut
  4. Pergi ke lokasi yang anda ingin fail-fail berkenaan ditempatkan
  5. Klik kanan dan pilih Paste

Selain dari cara ini, anda juga boleh melakukannya di dalam folder yang berzip berkenaan. Pilih fail-fail yang anda inginkan, dan seterusnya pada tab Extract sebelah atas terdapat ikon-ikon lokasi yang boleh anda tempatkan fail yang telah diekstrak berkenaan. Jika lokasi yang anda inginkan tiada di dalamnya, anda masih lagi boleh mendapatkannya dengan memilih butang Choose location.

Kesimpulan

Sungguhpun terdapat banyak perisian pihak ketiga lain yang boleh digunakan untuk menguruskan fail-fail termampat seperti fail zip dan juga format-format lain, fungsi yang disediakan oleh Windows 10 sekurang-kurangnya dapat mempermudahkan urusan tugasan harian pengguna.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.