Google mengumumkan pihaknya kini telah menjenamakan semula pembantu kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) Bard dengan nama baharu. AI berkenaan kini dikenali sebagai Gemini, nama yang sama dengan koleksi model-model AI yang menguasakannya.
Bukan itu sahaja, Google juga melancarkan aplikasi mudah alih baharu dan memperkenalkan pakej langganan bayar baharu untuk pengguna yang inginkan ciri AI yang lebih maju.
Penjenaman ini merupakan sebahagian daripada komitmen Google dalam memajukan AI, menurut kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Sundar Pichai di pengumuman pendapatan sukuan untuk Januari baru-baru ini.
Menurut beliau, Google berhasrat menawarkan sebuah ejen AI yang mampu melengkapkan lebih banyak tugasan bagi pihak pengguna termasuk di dalam Google Search. Beliau mengakui perkara ini memerlukan lebih banyak usaha yang perlu dilakukan kelak.
Isi Kandungan
Gemini di Android dan iOS
Untuk mengakses Gemini, pengguna kini boleh memuat turun aplikasi khusus di Android atau menggunakan aplikasi Google di iOS. Google menyatakan ini merupakan pengalaman mudah alih baharu yang menawarkan cara yang lebih mudah untuk mengakses Gemini pada peranti mudah alih.
Pada Android, pengguna boleh memilih untuk menggunakannya bersama-sama dengan Google Assistant. Jadi, apabila pengguna mengakses Google Assistant, Gemini akan ada bersama untuk membantu.
Juga terdapat lapis telus (overlay) baharu yang menawarkan akses mudah ke Gemini serta bantuan kontekstual terus dari skrin. Google menyatakan kebanyakan ciri tersebut sudah pun terdapat pada Google Assistant seperti menetapkan pemasa, membuat panggilan dan mengawal peranti pintar di rumah pengguna turut tersedia menerusi Gemini. Pelbagai ciri-ciri baharu juga dirancang untuk ditambah di masa hadapan.
Di iOS pula, pengguna boleh mengakses Gemini secara terus dari aplikasi Google dalam tempoh beberapa minggu lagi. Satu togol khas Gemini akan disediakan di dalam aplikasi berkenaan bagi membolehkan pengguna menggunakan fungsi chatbot AI.
Menurut Google, Amerika Syarikat merupakan pasaran pertama yang menerima akses sepenuhnya Gemini dan pasaran-pasaran lain akan menyusul kemudian.
Harga Gemini Advance
Bagi anda yang inginkan akses yang lebih lagi, Google memperkenalkan Gemini Advanced. Dikenali sebelum ini sebagai Bard Advanced, model AI ini menggunakan model bahasa besar (LLM) Ultra 1.0 baharu.
Melalui model Ultra baharu ini, Google menyatakan Gemini Advance lebih berkeupayaan di dalam tugasan seperti menulis kod, penaakulan logik, memahami arahan yang lebih bernuansa dan bekerjasama di dalam projek kreatif. Ia juga boleh memahami konteks dengan lebih baik dengan mengikuti prom sebelumnya untuk memberikan keputusan yang lebih baik.
Selain itu, Google menyatakan Gemini Advance boleh membantu tugas-tugas tambahan seperti:
- menjadi pengajar persendirian dengan menghasilkan petunjuk langkah-demi-langkah, sampel kuiz atau perbincangan yang menjurus kepada gaya pembelajaran pengguna.
- membantu dengan senario menulis kod yang lebih rumit melalui nasihat idea yang lebih bernas dan membantu anda menilai pendekatan menulis kod yang berbeza.
- membantu penghasil kandungan digital menghasilkan karya dari idea hinggalah ke penghasilannya dengan menjana kandungan segar, menganalisis trend semasa dan membantu mencari ilham untuk menambah bilangan peminat.
Untuk mengakses Gemini Advanced, pengguna boleh memilih untuk melanggan dengan pergi ke pilihan langganan AI baharu. Ia berharga RM97.99 sebulan menerusi Google One dengan tempoh percubaan percuma selama dua bulan. Selain itu, pelanggan AI Premium (dahulu dikenali sebagai Duet AI) juga boleh menggunakan Gemini di dalam Gmail, Docs, Slides, Sheets dan banyak lagi.