Rockstar Games mengumumkan pra-tempahan untuk Grand Theft Auto VI (GTA 6), akan dibuka bermula 25 Jun ini. Pengumuman baharu ini turut memberi kelegaan kepada para peminat kerana ia mengesahkan tarikh pelancaran rasmi permainan tersebut yang kini ditetapkan pada 19 November depan.
Sebelum ini, proses pembangunan permainan ini dilaporkan berdepan pelbagai cabaran dan telah ditangguhkan beberapa kali.
Bersempena dengan pengumuman itu, Rockstar telah melancarkan laman web khusus yang memaparkan rekaan seni kulit (cover art) rasmi untuk permainan tersebut.
Rekaan itu mengekalkan identiti visual siri GTA dengan tajuk permainan diletakkan di bahagian tengah, berlatarbelakangkan estetika berpanel gaya buku komik atau kaca berwarna.
Walaupun sesetengah pihak menganggap rekaan ini agak ringkas memandangkan pembangun telah mengeluarkan dua treler rasmi sebelum ini, ia tetap mengekalkan gaya klasik siri tersebut.
Berdasarkan penerangan video yang dikeluarkan, pra-tempahan ini akan tersedia di kedai-kedai digital dan peruncit terpilih.
Namun begitu, pelancaran ini hanya dikhususkan untuk platform generasi baharu iaitu PlayStation 5 (PS5) serta Xbox Series X dan S.
Bagi pengguna komputer peribadi (PC), Rockstar memaklumkan tidak akan melakukan pelancaran serentak untuk platform tersebut.
Ketiadaan versi PC pada hari pelancaran bukanlah sesuatu yang mengejutkan, memandangkan ia merupakan tradisi Rockstar yang menjadikan konsol sebagai platform eksklusif berjangka masa.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Take-Two Interactive (syarikat induk Rockstar), Strauss Zelnick, syarikat mereka sentiasa memulakan pelancaran pada konsol kerana menyasarkan pasaran tersebut sebagai “audiens teras”.
Bukti ini turut disokong oleh data yang pernah dibocorkan oleh kumpulan penggodam, ShinyHunters, yang menunjukkan pemain konsol memang menjadi sasaran utama syarikat itu.
Kini, fokus utama beralih kepada tanda harga yang akan diletakkan oleh Rockstar untuk karya terbaharu ini. Terdapat desas-desus dan kebimbangan dalam kalangan pemain bahawa GTA 6 mungkin akan menembusi tanda harga premium sehingga AS$100 (sekitar RM414).
Hal ini amat merisaukan kerana ia boleh menetapkan duluan baharu (precedent) bagi permainan lain untuk turut menaikkan harga jualan. Apatah lagi ketika dunia sedang bergelut dengan krisis kekurangan memori yang telah meningkatkan kos keseluruhan alat ganti elektronik, PC, dan konsol permainan.













