Krisis kekurangan memori global diramalkan berterusan dengan unjuran harga cip memori yang akan mengalami kenaikan mendadak sehingga tahun 2028.
Laporan daripada Jefferies Equity Research mendedahkan pasaran tidak akan melihat pemulihan harga yang stabil. Ini berikutan ketidakseimbangan antara permintaan tinggi dan bekalan yang sangat terhad.
Berdasarkan ringkasan laporan penganalisis pasaran, harga cip memori dijangka mengalami lonjakan mendadak secara berperingkat bermula pertengahan tahun ini.
Walaupun pengeluar dijangka dapat memenuhi kira-kira 60 peratus permintaan pasaran menjelang tahun 2027, angka tersebut hanya mampu memperlahankan sedikit kadar kenaikan harga. Ia tidak mencukupi untuk menyelesaikan krisis secara keseluruhan.
| Tempoh Masa | Ramalan Kenaikan Harga |
|---|---|
| Suku Ketiga (S3) 2026 | Melonjak sehingga 50% berbanding suku sebelumnya (QoQ) |
| Suku Keempat (S4) 2026 | Melonjak sehingga 40% berbanding suku sebelumnya (QoQ) |
| Tahun 2027 | Meningkat sehingga 45% dari tahun ke tahun (YoY) |
Syarikat AI punca kenaikan Harga Memori
Faktor utama yang memacu krisis bekalan memori ini adalah permintaan luar biasa daripada syarikat-syarikat kecerdasan buatan (AI) dan penyedia perkhidmatan awan.
Kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan bekalan memori global kini terikat dengan perjanjian jangka panjang bersama entiti-entiti teknologi besar tersebut.
Penguasaan bekalan ini dijangka terus meningkat sehingga 70 peratus apabila lebih banyak syarikat mengambil pendekatan memeterai kontrak jangka panjang bagi menjamin kelangsungan operasi peranti dan pelayan mereka.
Pengeluar memori dari China yang berpotensi menjadi alternatif buat masa ini dilaporkan masih ketinggalan dari segi penguasaan teknologi pembuatan berbanding syarikat peneraju lain.
Oleh yang demikian, syarikat-syarikat pembuatan cip memori China ini dijangka tidak mampu memberi sumbangan bermakna untuk mengimbangi bekalan memori global.
Mereka dijangka hanya berjaya mengejar tahap teknologi semasa dan mula menampung permintaan pasaran sepenuhnya pada tahun 2028.
Krisis kekurangan cip memori ini telah memberi impak kepada harga perkakasan elektronik pengguna di pasaran.
Senario pasaran masa kini mula menyaksikan peningkatan kos secara berperingkat ke atas konsol permainan seperti kenaikan harga PlayStation 5 (PS5) dan PS5 Pro di pasaran. Malah turut memberikan kesan nilai jualan yang lebih tinggi bagi perkakasan baharu seperti Steam Machine.
Kekurangan komponen ini turut menjejaskan perkhidmatan digital apabila syarikat seperti Nintendo terpaksa menaikkan harga yuran keahlian dalam talian untuk konsol Switch.











