Ketika pelancaran pemprosesan Intel Generasi Ke-11 Tiger Lake pada September 2020, Intel turut mengumumkan kategori baharu untuk laptop berspesifikasi tinggi.
Dikenali sebagai Evo Platform, peranti premium ini direka khusus untuk kehidupan serba pantas masa kini.
Selain dari keutamaan pada prestasinya yang tinggi, laptop yang platform ini juga perlu menjadi lebih ringan serta mempunyai jangka hayat bateri yang panjang. Peranti-peranti berkenaan juga perlu menjalani prosedur pengujian Intel yang ketat untuk terpilih.
Isi Kandungan
Apakah keperluan yang perlu ada pada sesebuah laptop untuk layak memasuki Platform Intel Evo?
Diiktiraf sebagai laptop Intel Evo boleh dianggap sebagai satu penghormatan kepada pengeluarnya dengan salah satunya adalah disebabkan syarat kelayakannya yang ketat.
Misalnya, laptop tersebut perlu sekurang-kurangnya menggunakan pemprosesan baharu Intel Tiger Lake. Atau yang akan hadir nanti, pemprosesan Generasi Ke-12 Alder Lake. Laptop berkenaan juga perlu menggabungkan dengan grafik berintegrasi baharu Xe bagi memberikan prestasi keseluruhan yang terbaik.
Peningkatan prestasi tersebut tidak seharusnya mengorbankan jangka hayat penggunaan bateri. Oleh itu, syarat penggunaan untuk tempoh masa yang panjang juga perlu dipenuhi. Laptop Intel Evo perlu menawarkan sekurang-kurangnya sembilan jam penggunaan untuk sekali cas. Bagaimanapun, syarat ini hanya ditetapkan untuk peranti Full HD, pada resolusi 1440p dan ke atas.
Intel tidak memberi ketetapan spesifik untuk resolusi skrin, namun amat jarang laptop berkualiti premium hadir dengan resolusi yang rendah dari Full HD. Ia juga mengkehendaki bingkai yang amat tipis, namun tidak menjelaskan secara terperinci nisbah skrin-ke-kerangka peranti.
Selain dari keperluan kuasa tadi, peranti yang layak juga perlu menjadi amat ringan. Kebanyakan laptop masa kini adalah ringan dengan berat sekitar 1.5 kg dan ada sesetengahnya lebih ringan daripada itu. Oleh itu, laptop Intel Evo pastinya akan lebih ringan berbanding laptop-laptop kebanyakan lain di pasaran.
Laptop platform ini juga perlu boleh dibuka dari mod ‘sleep’ dalam tempoh kurang dari satu saat. Ia juga perlu memiliki sokongan Thunderbolt 4 untuk pemindahan data yang pantas dan juga Wi-Fi 6 terbina dalam.
Apakah laptop yang menyertai platform Intel Evo?
Sungguhpun mengenakan syarat-syarat yang ketat, buat masa ini terdapat banyak peranti yang sudah menyertai platform Intel Evo. Antara pengeluar yang menyertai termasuklah Acer, Lenovo, Dell, Asus dan HP.
Kebanyakan laptop-laptop ini dijual pada harga yang tinggi sekitar RM6,000 dan ke atas. Pada aras harga ini dan di tambah dengan keadaan ekonomi semasa, banyak faktor yang perlu diambil kira oleh kebanyakan pengguna sebelum memutuskan untuk membelinya.
Adakah laptop Intel Evo menjadi laptop yang terbaik di pasaran?
Bergantung kepada keadaan dan tujuan penggunaannya. Platform Evo hanya terhad pada laptop-laptop yang menggunakan pemprosesan Intel, walauhpun pemprosesan AMD pada hari ini mampu memberikan saingan yang bagus.
Siri AMD Ryzen 5000 yang terkini juga dalam beberapa segi telah ‘menewaskan’ Tiger Lake dalam ujian penanda aras. Justeru, memberikan kelebihan prestasi dalam beberapa keadaan.
Selain itu, kehadiran pemprosesan ARM baharu juga menawarkan kelebihan tersendiri terutama jangka hayat penggunaan baterinya. Qualcomm yang menjadi peneraju di dalam segmen pemprosesan ARM sedang bekerjasama dengan Microsoft menghasilkan cip tersuai untuk dua generasi Surface Pro X.
Apple juga perlu diambil perhatian di dalam arena perkomputeran mudah alih ini melalui kehadiran cip pemprosesan keluarannya sendiri, M1. MacBook Air, MacBook Pro dan Mac mini, merupakan antara peranti pertama yang menggunakan pemprosesan ini. Dijangkakan lebih banyak lagi peranti yang bakal dihasilkan berasaskan pemprosesan M1 terbaru ini.
Justeru, secara kesimpulannya laptop Intel Evo Platform merupakan laptop premium terbaik yang dikuasakan oleh pemprosesan Intel sahaja.