Siri Intel Arc Battlemage atau B-Series kini secara rasminya dilancarkan dengan membawakan dua buah SKU iaitu B580 dan B570. Untuk Battlemage B580, ia menampilkan GDDR6 12GB dengan klok grafik 2,670MHz, 20 unit Teras Xe2, 20 unit ray-tracing, 1650 Enjin AI XMX, lebar jalur memori 456GB/s dan 190W TGP.
Manakala untuk Battlemage B570 pula, GPU ini menampilkan GDDR6 10GB dengan klok grafik 2,500MHz, 18 unit Teras Xe2, 18 unit ray-tracing, 144 Enjin AI XMX, lebar jalur memori 380MB/s, dan TGP 150W.
Menurut Intel, kedua-dua kad grafik Battlemage ini direka untuk menjalankan permainan komputer pada resolusi 1440p. Ini kerana trend pasaran pada masa kini menunjukkan kebanyakan para pemain semakin cenderung memilih resolusi tersebut.
Kad grafik Intel Battlemage Limited Edition juga menerima rekaan semula dengan kedudukan komponen di sekitar teras GPU diubah. Pada bahagian luarnya pula terdapat satu ruangan berlubang di belakang selubung penyejuknya.
Intel juga membawakan teknologi naik-skala (upscale) generasi kedua, XeSS2 yang kini mengandungi tiga elemen iaitu Super Resolution atau XeSS-SR, Frame Generation atau XeSS-FG dan Low Latency XeSS.
Elemen penaik-skala ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana NVIDIA dan AMD masing-masing mempunyai teknologinya yang tersendiri menerusi DLSS3 dan FSR3.
Dalam pada masa yang sama, Intel turut memperkenalkan AI Playground, program sumber terbuka yang membolehkan pengguna menjana imej dari teks menggunakan 12 billion parameter, seumpama Stable Diffusion.
Intel Arc Battlemage B580 mula menemui pengguna di pasaran bermula dari 13 Disember dengan harga jualan US$249 (~RM1,112). Manakala bermula dari 16 January 2025, model B570 akan mula dijual pada harga dari US$219 (~RM978).