Intel secara rasminya telah memperkenalkan siri cip pemprosesan komputer riba terbaharunya, siri Intel Core Ultra 3 yang diberi nama kod ‘Panther Lake’, untuk pasaran Malaysia pada bulan ini.

Pelancaran ini menandakan ketibaan cip pertama yang dibina menggunakan nod pembuatan 18A termaju Intel. Fokusnya untuk memperkasakan keperluan perkomputeran kecerdasan buatan (AI) generasi baharu.

Siri pemprosesan Panther Lake direka secara khusus untuk menggabungkan kuasa prestasi tinggi daripada siri Arrow Lake-H dengan ciri penjimatan tenaga bateri yang cemerlang dari siri Lunar Lake.

Cip inovatif ini disasarkan kepada segmen komputer riba nipis dan ringan bertaraf premium. Ia menawarkan hayat bateri sepanjang hari tanpa menjejaskan keupayaan perkomputeran.

Berbeza dengan generasi sebelum ini, Panther Lake tidak lagi menggunakan memori terbina (on-package memory). Sekaligus memberikan kebebasan kepada pembuat komputer riba untuk memilih konfigurasi memori mereka sendiri.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Intel, Lip-Bu Tan, pelancaran Panther Lake ini menepati janji syarikat untuk mula mengedarkan produk pengguna yang dikuasakan oleh teknologi proses 18A ke pasaran secara meluas.

Berikut merupakan ciri-ciri dan spesifikasi utama siri Intel Core Ultra 3 ‘Panther Lake’:

  • Proses Pembuatan 18A: Platform sistem-dalam-cip (SoC) pertama yang dihasilkan menggunakan cip berteknologi 18A yang paling maju dari Intel.
  • Seni Bina Teras Berganda: Dilengkapi dengan sehingga 16 teras fizikal, merangkumi teras prestasi (P-Core) ‘Cougar Cove’ dan teras kecekapan (E-Core) ‘Darkmont’ bagi pengurusan tugas yang optimum.
  • Grafik Generasi Terbaharu: Dikuasakan oleh seni bina grafik Intel Arc Xe3 (Celestial) terbaharu bersama 12 unit surih sinar (ray tracing) untuk paparan visual yang lebih realistik.
  • Keupayaan AI Berprestasi Tinggi: Menyertakan Unit Pemprosesan Rangkaian Neural (NPU) generasi kelima yang menyediakan sehingga 50 TOPS (Tera Operations Per Second), manakala keseluruhan sistem menyokong sehingga 120 TOPS.
  • Sokongan Memori Fleksibel: Menyokong piawaian memori LPCAMM LPDDR5X berkelajuan tinggi sehingga 9,600MT/s bagi mempercepatkan pemprosesan data.

Kehadiran cip Panther Lake ini menandakan era baharu bagi pasaran komputer riba AI di Malaysia. Beberapa jenama pengeluar terkemuka seperti Acer yang telah mula mengemas kini barisan komputer riba mereka seperti siri Swift dengan pemproses baharu ini.

Tinggalkan komentar