Gangguan teknologi maklumat (information technology, IT) besar-besaran di seluruh dunia yang berpunca daripada kemaskini perisian oleh firma keselamatan siber CrowdStrike telah menjejaskan hampir 8.5 juta peranti Microsoft, menurut sebuah hantaran blog rasmi Microsoft semalam.
“Kami pada ketika ini menjangkakan kemaskini CrowdStrike menjejaskan 8.5 juta peranti Windows atau bersamaan kurang dari satu peratus dari keseluruhan peranti-peranti Windows,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di blog tersebut.
Kemaskini perisian oleh firma keselamatan siber global CrowdStrike yang juga salah sebuah pengendali terbesar di industri telah menjadi punca masalah pada sistem-sistem di pelbagai institusi penting di seluruh dunia. Ia mengakibatkan gangguan jadual penerbangan, siaran media, penjagaan kesihatan dan juga perbankan.
“Walaupun peratusannya kecil, namun impak ekonomi dan sosial menunjukkan penggunaan CrowdStrike amat meluas di kalangan perusahaan yang mengendalikan perkhidmatan-perkhidmatan kritikal,” ujar Microsoft di hantaran blog tersebut.
CrowdStrike telah membantu membangunkan kaedah penyelesaian yang akan membantu infrastruktur Microsoft Azure mempercepatkan pembaikan. Microsoft turut menambah pihaknya bekerjasama dengan Amazon Web Services (AWS) dan Google Cloud Platform dengan berkongsikan maklumat berkeaan kesan yang dialami oleh Microsoft di dalam industri.
Industri penerbangan mula kembali pulih pada Sabtu lalu selepas terkesan akibat masalah kemaskini tersebut. Gangguan yang dialami tersebut juga menyebabkan ribuan penerbangan dibatalkan hingga menyebabkan ramai penumpang yang terkandas dan terpaksa beratur panjang kerana operasi penerbangan terpaksa dilakukan secara manual.
Penerbangan AirAsia di Terminal 2 KLIA yang terkesan akibat gangguan IT pada Jumaat lalu telah mula kembali beroperasi seperti biasa sejak dari semalam.