Utama Teknologi Keselamatan Isu BSOD Windows Global; Kemaskini bermasalah Platform Keselamatan Siber Crowdstrike dikatakan sebagai...

Isu BSOD Windows Global; Kemaskini bermasalah Platform Keselamatan Siber Crowdstrike dikatakan sebagai Punca

194
0
Imej dari TroyHunt [X]

Bagi anda yang berkecimpung di dalam bidang teknologi maklumat (information technology, IT), anda mungkin biasa dengan terma Blue Screen of Death (BSoD) pada PC. Buat masa ini terdapat sejumlah besar PC-PC Windows di seluruh dunia yang dilaporkan mengalami masalah berkenaan dalam tempoh yang singkat.

Kebanyakan komputer-komputer yang dikenalpasti terkesan dengan masalah tersebut didapati menggunakan platform keselamatan siber yang sama, Crowdstrike. Nama platform tersebut mungkin tidak begitu dikenali bagi pengguna biasa.

Berdasarkan laporan-laporan yang diterima, PC-PC yang terkesan tersebut bukan sahaja mengalami BSoD, malah berdepan dengan masalah ‘restart’ berulang kali. Ia dilihat banyak terkesan pada Windows 10 dan Windows 11.

ABC News melaporkan masalah tersebut memberikan kesan terhadap institusi-institusi utama di Australia, New Zealand serta sejumlah negara lain di dunia. Kerajaan Australia juga mengadakan mesyuarat kabinet tergempar berikutan gangguan masalah IT ini.

Cara mengatasi masalah BSoD Windows disebabkan Kemaskini Crowdstrike

Jika organisasi anda menggunakan platform tersebut dan terkesan dengan BSoD, bebenang Crowdstrike di Reddit menyatakan pihak syarikat mengambil maklum berkenaan laporan tergendala pada hos-hos Windows yang berkait dengan Falcon Sensor.

Buat masa ini, pihak Crowdstrike sedang mengusahakan kerja-kerja pembaikan dan turut berkongsikan langkah penyelesaian sementara di bebenang di Reddit. Antaranya, melibatkan boot di dalam Safe Mode atau di dalam Windows Recovery Environment.

Seterusnya, pengguna dimaklumkan boleh pergi ke direktori C:\Windows\System32\drivers\CrowdStrike dan membuang fail C-00000291*.sys. Selain dari cara tersebut, ada pengguna lain yang mencadangkan menamakan semula folder yang terlibat kepada nama yang lain.

Comment
byu/TipOFMYTONGUEDAMN from discussion
incrowdstrike

Institusi dan Organisasi yang terkesan dari isu kemaskini CrowdStrike

Lapangan-lapangan terbang utama di dunia, seperti di Sydney, Hong Kong, Changi dan Narita juga dilaporkan masalah yang disebabkan isu tersebut. Beberapa syarikat penerbangan JetStar, JejuAir, Qantas, Lufthansa dan Air France turut berdepan dengan masalah pada sistem IT masing-masing.

Tidak terkecuali rangkaian makanan popular di Jepun, McDonalds’ juga dilaporkan terpaksa ditutup gara-gara masalah yang melanda di hampir segenap pelusuk dunia tersebut.

Kebetulan, di Malaysia juga berlaku masalah yang melibatkan IT apabila pelancong dan penumpang berkongsikan masalah yang berlaku di Kuala Lumpur International Airport Terminal 2 (KLIA 2) ke sosial media.

Buat masa ini Bernama melaporkan AirAsia sedang mengalami masalah pada sistem dalamannya untuk melakukan imbas masuk (check-in) penumpang. Keadaan ini telah menyebabkan kesesakan di lapangan terbang terbabit berikutan proses yang diperlukan dilakukan secara manual. Jadual penerbangan bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami pembatalan pada ketika ini.

Selain AirAsia, KLIA Express juga menyatakan sedang mengalami gangguan teknikal melalui hantaran di media sosialnya.

Dalam pada masa yang sama, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Malaysia Airlines memaklumkan kepada Bernama kedua-duanya tidak terjejas dengan gangguan IT global tersebut.

Tidak dapat dipastikan sama ada pihak-pihak yang terjejas tersebut mempunyai punca masalah yang sama atau mempunyai masalah yang berbeza cuma kebetulan berlaku pada masa yang hampir sama.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.