Isu gangguan teknologi maklumat (information teknologi, IT) yang melanda di seluruh dunia Jumaat lalu telah menyebabkan kerugian pendapatan syarikat penerbangan berjumlah jutaan ringgit. Kegagalan sistem tersebut juga turut menjejaskan sejumlah besar pengguna, ujar Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad, Tan Sri Tony Fernandes.
Beliau menyatakan pihaknya mengambil maklum tentang permohonan maaf dari Crowdstrike. Namun, masih menunggu penjelasan dari pihak Microsoft berhubung insiden tersebut.
“Syarikat teknologi kurang empati. Apa yang kami lalui dahulu ketika COVID-19, mereka tiada simpati. Kini mereka mempunyai masalah dan meminta semua pihak memahami. Namun, saya tidak berpuas hati tentang itu. Syarikat penerbangan perlukan jawapan dan ganti rugi,” ujar beliau di dalam hantaran di LinkedIn rasmi beliau.
CrowdStrike Holdings Inc merupakan syarikat teknologi keselamatan siber Amerika Syarikat yang berpangkalan di Austin, Texas. Ia menyediakan perkhidmatan perlindungan titik hujung (endpoint), penyelidikan ancaman dan respon serangan siber.
Rentetan dari kekecohan yang berlaku, Tony Fernandes menegaskan kepentingan mempelajari dan mengambil iktibar dari situasi yang berlaku. Beliau turut menjelaskan situasi yang berlaku mula kembali stabil pada hari kedua gangguan IT global tersebut yang mengganggu pengoperasi AirAsia di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Apa pun kami tidak akan alpa. Kami akan sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan gangguan di masa hadapan,” ujar beliau.
Operasi dijalankan secara manual
Tony Fernandes menyatakan pihak syarikat penerbangannya telah menguruskan operasi secara manual, termasuk imbas masuk, mencetak pas masuk (boarding pass) dan meletakkan bagasi dengan kerjasam lebih dari 100 orang sukarelawan Allstar.
“Ini mengingatkan saya dengan hari-hari awal kami 23 tahun lalu apabila segalanya dilakukan secara manual. Kami berbangga kerana dapat meminimakan pembatalan penerbangan dengan kepantasan kami beralih ke operasi manual dan komitmen ikhlas kami menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai,” tambah beliau lagi.
Walaupun berlaku kelewatan, Tony Fernandes memberikan jaminan AirAsia tekun untuk memastikan semua penumpang selamat sampai ke destinasi masing-masing.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada penumpang-penumpang kami yang bersabar dan menghargai usaha kami di sepanjang tempoh tersebut,” ujar berliau.
AirAsia kembali meneruskan operasi imbas masuk secara dalam talian pada jam 2 petang semalam selepas mengalami masalah gangguan IT global yang bermula pada petang Jumaat lalu.
Pada hari tersebut, institusi-institusi utama termasuk penerbangan, perbankan, saluran dan hospital di sejumlah besar negara-negara dilaporkan terkesan oleh gangguan IT global yang berpunca daripada kemaskini bermasalah CrowdStrike untuk sistem operasi Microsoft Windows.