Shopee dan Meta secara rasminya telah memperluas program perkongsian afiliasi (pemasaran rakan kongsi) mereka ke platform Instagram.

Inisiatif baharu ini merupakan lanjutan daripada program afiliasi sedia ada di Facebook. Ia bertujuan menawarkan lebih banyak pilihan kepada pencipta kandungan untuk menjana pendapatan (pengewangan) melalui penghasilan kandungan.

Program ini kini tersedia untuk pengguna di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam, dan Filipina, serta di Taiwan dan Brazil.

Menerusi ciri ini, pencipta kandungan yang layak boleh mempromosikan produk terpilih melalui hantaran Reels dan Feed. Komisen akan diperoleh daripada setiap pembelian yang berjaya dilakukan oleh penonton.

Cara Pelaksanaan dan Syarat Kelayakan

Berdasarkan garis panduan platform tersebut, pencipta kandungan boleh mempamerkan beberapa produk serentak dalam satu hantaran.

Produk ini akan ditandakan dengan ikon beli-belah dan label “layak komisen” (commission eligible) bagi memudahkan penonton mengenal pasti barangan yang dipromosikan.

Pencipta kandungan boleh menambah produk dengan menggunakan pilihan “Tambah produk” (Add products) ketika memuat naik hantaran, atau meletakkan pautan produk secara terus di ruangan kapsyen.

Untuk mula menjana pendapatan melalui program ini, pengguna perlu mengikuti langkah-langkah berikut:

  • Daftar sebagai Afiliasi Shopee dan pastikan akaun diluluskan.
  • Pautkan akaun Afiliasi Shopee kepada akaun profesional Instagram melalui Papan Pemuka Profesional (Professional Dashboard) di dalam aplikasi.
  • Semak imbas dan pilih produk Shopee yang bersesuaian untuk disyorkan di dalam kandungan.

Penyertaan dalam program ini tertakluk kepada beberapa syarat kelayakan utama yang ditetapkan oleh pihak Meta:

  • Pengguna mesti berumur 18 tahun dan ke atas.
  • Memiliki akaun profesional Instagram.
  • Mempunyai sekurang-kurangnya lebih daripada 1,000 pengikut.
  • Mematuhi sepenuhnya dasar pengewangan rakan kongsi Meta.

Pelan Pengiklanan Masa Hadapan

Selain membenarkan penyiaran kandungan afiliasi biasa, Shopee dan Meta juga sedang meneliti penyelesaian iklan afiliasi baharu. Sistem ini membolehkan para penjual dan jenama di Shopee memperluas jangkauan kandungan afiliasi sebagai promosi berbayar yang dilabel dengan jelas.

Ciri pengiklanan ini menggunakan sistem iklan Meta untuk mensasarkan audiens yang relevan dan hanya akan dilaksanakan dengan kebenaran pihak pencipta kandungan.

Buat masa ini, ketersediaan penyelesaian iklan tersebut masih terhad di beberapa pasaran terpilih di Asia Tenggara, dengan pelancaran yang lebih meluas dirancang dalam beberapa bulan akan datang.

Tinggalkan komentar