Pengguna-pengguna di Russia dilaporkan tidak boleh memuat turun Windows 10 dan Windows 10 sejak beberapa hari lalu. Akses untuk memuat turun ISO kemaskini Windows terkini akan menerima notifikasi ralat “Error 404 messages”, menurut Bleeping Computer.
Bagaimanapun, pengguna-pengguna di Russia masih lagi boleh memuat turun Windows 11 Media Creation Tool, namun akan menerima ralat “0x80072F8F-0x20000 error” apabila menggunakannya.
Setakat ini tidak dapat dipastikan masalah muat turun ini disebabkan ralat teknikal dari Microsoft atau sekatan yang ditetapkan oleh pihak syarikat sendiri.
Perkembangan ini berlaku di saat Microsoft giat menamatkan perkhidmatan-perkhidmatan dan jualannya di Russia. Langkah yang hampir sama ini juga turut dibuat oleh syarikat-syarikat teknologi lain seperti Apple, Dell, Ericsson, Nokia dan sebagainya.
Bagi mengatasi masalah ini, sebahagian pengguna di Russia telah cuba memuat turun versi terkini Windows dengan mengguna Rangkaian Persendirian Maya (VPN) bagi menyembunyikan lokasi sebenar mereka.