Malaysia dan Filipina ditimpa bencana alam yang dahsyat sejak dari minggu lepas. Di Filipina, lebih kurang 375 jiwa telah terkorban akibat dari Taufan Rai. Manakala di Malaysia pula, lebih kurang 70,000 orang kehilangan tempat tinggal disebabkan banjir besar. Di Selangor sahaja, dilaporkan seramai 17 orang telah meninggal dunia akibat bencana ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook menerusi hantaran akaun Twitter beliau menyatakan pihak syarikatnya akan menghantarkan bantuan bencana di Malaysia dan Filipina. Buat masa ini, tidak diketahui jumlah sumbangan yang akan disalurkan serta organisasi yang akan menjalankan usahasama tersebut kelak.
Awal minggu lalu, Apple telah menyeru menyalurkan kutipan derma bagi bantuan bencana di beberapa negeri di Amerika Syarikat yang terjejas akibat puting beliung. Oktober lalu, Apple telah mengadakan kutipan derma bagi menyokong usaha bantuan bencana di wilayah Shanxi, China.
Typhoon Rai has caused so much devastation in the Philippines and Malaysia — so many families have lost so much. Apple will be contributing to relief, recovery, and longer-term rebuilding efforts. #OdettePH
— Tim Cook (@tim_cook) December 21, 2021
Di Malaysia, rata-rata pengguna media sosial mengkritik tindakan pihak berkuasa yang lambat dan mengatur gerakan bantuan kecemasan. Rakyat Malaysia bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) telah berganding bahu memulakan usaha menyelamat mangsa-mangsa banjir yang terperangkap di kediaman masing-masing.
Dalam pada masa yang sama, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin telah menghalalkan segala barangan-barangan yang diambil akibat kejadian pecah masuk premis-premis Mydin ketika bencana banjir berkenaan. Beliau memahami situasi tersebut berlaku akibat desakan untuk terus hidup yang dialami oleh para mangsa.
Turun padang bantu rakyat ❌
Buat jamuan grand ✅ pic.twitter.com/KOEvVNyS2D— Aidi Ezzhar (@aidi_ezzhar) December 20, 2021
Di dalam keadaan serba mendesak ini, usaha saling membantu antara satu sama lain bagi meringankan impak dari bencana alam ini merupakan sesuatu yang amat dipuji.