Kerajaan Perpaduan sebelum ini telah mengumumkan bantuan kredit eWallet RM200 untuk belia berusia di antara 18 hingga 20 tahun termasuk yang sedang mengikuti pengajian di institut pengajian tinggi menerusi Belanjawan 2023. Kini, eTunai Belia Rahmah akan diperluaskan kepada semua pelajar universiti Malaysia tanpa mengira usia.
Menurut Bernama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan perkara tersebut di dalam sesi dialog dengan pelajar di UiTM Shah Alam. Beliau menjelaskan langkah ini dilakukan dengan tujuan memastikan bantuan tersebut dapat dimanfaatkan oleh kelompok sasar tersebut.
Di dalam sesi tersebut, wakil peserta telah membangkitkan perkara berkenaan kerana mendapati Belanjawan 2023 meletakkan kategori penerima eWallet RM200 kepada belia yang berusia 18 hingga 20 tahun. Ini bermakna, pelajar yang tidak termasuk dalam lingkungan usia tersebut tidak dapat memohon di dalam kategori bujang.
Perdana Menteri kemudiannya menjelaskan beliau telah membuat keputusan bantuan eWallet berkenaan akan memanfaatkan seluruh pelajar-pelajar universiti. Dikenali pada asalnya sebagai ePemula, eTunai Belia Rahmah disasarkan dapat memberikan manfaat kepada sejumlah 2 juta belia di seluruh negara.