Rakyat Malaysia yang layak boleh menebus kredit eWallet RM100 yang disediakan oleh kerajaan melalui program eMadani. Penebusan boleh dibuat bermula dari hari ini, 4 Disember 2023 di platform-platform e-wallet yang terpilih.
eMadani merupakan program kerajaan di bawah rangkakerja Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat dengan peruntukan sejumlah RM1 billion. Program ini akan memanfaatkan kira-kira 10 juta rakyat Malaysia dan perniagaan runcit.
Penyedia-penyedia perkhidmatan eWallet yang terlibat di dalam inisiatif ini juga menawarkan pelbagai baucar, pulangan tunai, diskaun dan juga mata ganjaran kepada mana-mana pengguna yang menebus kredit eMadani ini.
Isi Kandungan
Siapakah yang layak menerima kredit eWallet eMadani RM100?
Menurut Kementerian Kewangan, program eMadani ini diberikan kepada rakyat Malaysia berusia 21 tahun dan ke atas dengan pendapatan tahunan kurang dari RM100,000 setahun atau penerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Rakyat Malaysia yang akan mencecah usia 21 tahun pada penghujung tahun 2023 juga layak memohon program ini.
Jika anda sebelum ini pernah menebus RM200 di bawah program eBeliaRahmah, anda tidak boleh menebus kredit eMadani RM100 ini. Menurut Kementerian Kewangan, ini kerana kredit eBeliaRahmah mempunyai matlamat yang sama dalam membudayakan nirtunai di kalangan para belia.
Cara menebus kredit eMadani RM100
Untuk menebus kredit eMadani RM100, anda perlu memilih salah satu daripada empat penyedia perkhidmatan eWallet berikut:
- Maybank MAE
- Setel
- Shopee Pay
- Touch ‘n Go eWallet
Bagi anda yang baharu menggunakan, anda boleh memuat turun aplikasi eWallet berkenaan menerusi Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery mengikut jenis peranti adna.
Sebelum anda menerima kredit eMadani RM100 berkenaan, anda perlu mempunyai akaun eWallet yang sah. Jika anda belum melakukannya, anda boleh mengesahkan akaun eWallet anda dengan melakukan proses electronic know-your-customer (e-KYC) yang memerlukan anda mengimbas kad pengenalan (MyKad) anda.
Tebus eMadani RM100 melalui MAE
- Buka aplikasi MAE
- Ketik pada ikon eMadani pada skrin utama
- Masukkan maklumat berkaitan dan tekan ‘Submit’
- Anda akan menerima satu notifikasi apabila penebusan kredit eMadani RM100 berjaya dilakukan
Tebus eMadani RM100 melalui Setel
- Buka aplikasi Setel
- Ketik pada ikon eMadani pada skrin utama
- Tekan pada ‘Claim Now’, masukkan maklumat yang berkaitan dan hantar
- Anda akan menerima satu notifikasi apabila penebusan kredit eMadani RM100 berjaya dilakukan
Tebus eMadani RM100 melalui Shopee Pay
- Buka aplikasi Shopee
- Ketik pada ikon eMadani pada skrin utama
- Tekan pada ‘Claim Now’, masukkan maklumat yang berkaitan dan hantar
- Anda akan menerima satu notifikasi apabila penebusan kredit eMadani RM100 berjaya dilakukan
Tebus eMadani RM100 melalui TNG eWallet
- Buka aplikasi MAE
- Ketik pada ikon eMadani pada skrin utama
- Semak untuk bersetuju dengan terma dan syarat, ketik pada ‘Claim nOw’, masukkan makluamt anda dan hantar
- Anda akan menerima satu notifikasi apabila penebusan kredit eMadani RM100 berjaya dilakukan
Rakyat Malaysia yang layak menebus hanya akan menerima kredit eMadani RM100 ini secara one-off sahaja di platform yang dipilih dan tidak boleh menebuskannya di platform yang lain.
Bilakah anda boleh menebus kredit eWallet eMadani RM100?
Anda boleh memohon untuk menebus kredit eWallet eMadani RM100 bermula dari jam 8 pagi Isnin, 4 Disember 2023.
Tempoh penebusan tamat pada 20 Februari 2024 dan anda perlu menggunakan sepenuhnya kredit tersebut seblum 29 Februari 2024. Baki kredit eMadani yang tidak digunakan akan diluputkan pada 29 Februari 2024.
Bolehkah kredit eWallet eMadani RM100 digunakan untuk membeli belah secara dalam talian?
Kredit eWallet eMadani RM100 hanya boleh digunakan di kedai-kedai fizikal sahaja. Keempat-empat eWallet yang mengambil bahagian menyokong pembayaran QR DuitNow dan boleh menggunakan kredit tersebut di lebih dari 1.8 juta perniagaan di seluruh Malaysia.
Anda juga boleh membuat pembelian petrol menggunakan kredit ini menerusi platform yang menyediakan pembayaran tersebut seperti Setel (Petronas) dan TNG eWallet (Shell).
Bagaimanapun, anda tidak boleh menggunakannya untuk pembelian secara dalam talian, pembayaran bil dalam talian, tol dan parkir. Berikut transaksi-transaksi yang tidak disokong di bawah program eMadani:
- Pemindahan secara dalam talian
- Pengeluaran tunai
- Pembayaran bil utiliti di dalam aplikasi
- Pembayaran berkaitan kerajaan di dalam aplikasi
- Pembayaran bil telekomunikasi (pascabayr atau prabayar)
- Pembelian untuk permainan melalui aplikasi
- Pembayaran tol dan parkir
- Aktiviti pelaburan di dalam aplikasi
- Pembelian secara dalam talian atau transaksi secara dalam talian
Dalam pada masa yang sama, pihak Kementerian Kewangan turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan taktik licik penipuan melibatkan program ini.
Pastikan anda hanya memuat turun aplikasi MAE, Setel, ShopeePay dan TNG eWallet melalui gedung aplikasi yang sah sahaja. Elakkan dari memuat turun dan memasang fail-fail APK yang dihantar daripada aplikasi permesejan atau sumber yang diragui.
Maklumat lanjut, layari halaman soalan-soalan lazim eMadani di laman web rasmi Kementerian Kewangan.