Samsung baru-baru ini telah mengumumkan tablet Galaxy Tab S6 Lite versi tahun 2024 yang menawarkan penggunaan pemprosesan yang baharu. Tablet berkenaan sebelum ini pernah diperkenalkan di pasaran pada tahun 2020 dan juga 2022.
Galaxy Tab S6 Lite (2024) akan tersedia dengan pilihan sambungan Wi-Fi sahaja dan pilihan Wi-Fi dan LTE. Berbeza dengan edisi yang terdahulu, Samsung menawarkan tiga warna pilihan baharu yang terdiri daripada Oxford Gray, Chiffon Pink, dan Mint.
Walaupun menggunakan Snapdragon pada 2022, model yang dikemaskini ini kembali menggunakan pemprosesan buatan Samsung melalui Exynos 1280. Ia juga ditawarkan dengan pilihan storan sehingga 128GB bersama-sama slot kad mikroSD sehingga 1TB. Cuma pilihan RAM yang ditawarkannya pula masih lagi kekal sehingga 4GB sahaja.
Selain dari itu, Galaxy Tab S6 Lite (2024) masih lagi dilengkapkan dengan paparan LCD 10.4-inci dengan nisbah aspek 15:9 beresolusi 2000 x 1200 piksel. Ia juga mempunyai pembesar suara stereo ditala dengan AKG, dan bateri berkapasiti 7,040mAh.
Untuk ketersambungannya, tablet ini menyediakan sokongan Wi-Fi dwi-jalur dan Bluetooth 5.3. Manakala untuk fungsi pengimejannya, ia mempunyai kamera belakang 8MP, dan kamera hadapan 5MP. Tidak ketinggalan, Galaxy Tab S6 Lite (2024) juga menawarkan sokongan S Pen yang didatangkan bersama-sama kotak pembungkusannya.
Samsung masih lagi belum mengumumkan harga bagi Galaxy Tab S6 Lite (2024) dan hanya menyatakan ia akan dilancarkan di beberapa pasaran tertentu pada 28 Mac 2024. Dijangkakan tablet ini akan hadir ke pasaran Malaysia dalam masa yang terdekat ini.