Mei lalu Samsung telah memperkenalkan Galaxy Tab S6 Lite edisi 2022 di beberapa pasaran global terpilih. Pengumuman rasmi mengenai tablet ini tidak diuar-uarkan, justeru agak sukar untuk mengetahui perkembangan terkini mengenainya.
Walaubagaimanapun, peniaga-peniaga tempatan telah mula menawarkan Galaxy Tab S6 Lite 2022 di Malaysia dengan salah satunya, DirectD telah menyenaraikan di dalam senarai produk terkininya. Di dalam senarai tersebut, Galaxy Tab S6 Lite 2022 model LTE dijual pada harga RM1,799.
Carian menerusi Lazada dan Shopee juga menunjukkan model Wi-Fi boleh didapati pada harga RM1,499. Harga ini tidak jauh bezanya dengan model Galaxy Tab S6 Lite 2020 yang kini dijual di pasaran sekarang.
Buat masa ini penawaran tablet berkenaan masih lagi belum disediakan melalui laman web rasmi Samsung Malaysia sungguhpun kedua-dua varian, LTE dan Wi-Fi sudah disenaraikan.
Perbezaan yang paling ketara antara kedua-dua model keluaran tahun 2020 dan 2022 adalah pada penggunaan cipsetnya. Galaxy Tab S6 Lite 2022 yang baharu ini menggunakan Qualcomm Snapdragon 720G, manakala bagi keluaran 2020 sebelum ini ia menggunakan Exynos 9611.
Model baharu keluaran tahun ini juga menggunakan antaramuka OneUI 4.1 yang berasaskan Android 12. Selain dari itu, ia masih lagi kekal menampilkan RAM 4GB dan storan dalaman 64GB, dan paparan WUXGA+ (2000 x 1200) beresolusi 10.4-inci. Kameranya pula adalah 8MP untuk di belakang, manakala 5MP untuk bahagian hadapannya. Tablet dengan bateri berkapasiti 7,040mAh ini turut menawarkan sokongan S Pen.