Samsung mula mengacah telefon pintar boleh lipat skrin lebar generasi baharu keluarannya. Peranti yang dinanti-nantikan ini dijangka akan hadir sebagai Galaxy Z Fold8.
Desas-desus menyatakan siri Galaxy Z generasi seterusnya ini akan diumumkan secara rasmi pada bulan ini
Samsung turut berkongsi enam video acah (teaser) berbentuk teka-teki merentasi saluran media sosial rasmi mereka.
Kempen ini memberikan petunjuk kemunculan peranti boleh lipat skrin lebar tersebut. Namun tidak mendedahkan nama peranti tersebut secara terbuka.
Walaupun video acah itu tidak memaparkan rupa bentuk fizikal peranti tersebut, ia secara berulang kali menekankan faktor reka bentuk (form factor) yang lebih lebar melalui penyampaian visual dan mesej.
Samsung turut menggunakan frasa-frasa seperti “Bentuk Baharu” (A New Shape) dan “Langkah Berani” (A Bold Stroke). Penggunaan frasa ini dilihat sebagai petunjuk reka bentuk semula Galaxy Z Fold8. Ia dikhabarkan memiliki nisbah bidang (aspect ratio) yang lebih besar.
Peminat teknologi boleh menonton kesemua enam video acah tersebut secara terus melalui saluran YouTube rasmi dan juga halaman Instagram Samsung.
Melalui kempen promosi awal ini, peminat hanya menunggu masa sebelum Samsung mengumumkan tarikh pelancaran rasmi untuk Galaxy Z Fold8.
Selain peranti skrin lebar tersebut, model ini juga dijangka akan membuat kemunculan sulungnya bersama-sama peranti pintar lain iaitu Galaxy Z Fold8 Ultra dan Galaxy Z Flip8.













