Samsung Malaysia secara rasminya telah mengumumkan Galaxy Tab S6 Lite akan memasuki ke pasaran Malaysia tidak berapa lama lagi. Terdahulu, tablet berkenaan sudah pun memasuki pangkalan data SIRIM pada bulan lepas.
Sungguhpun kehadiran peranti ini disahkan, Samsung bagaimanapun tidak menyatakan tarikh sebenar kehadirannya. Setakat ini, apa yang dimaklumkan adalah harga jualan bagi Galaxy Tab S6 di Malaysia bermula dari RM1,699.
Dilengkapkan dengan paparan TFT 10.4-inci dengan resolusi 2000 x 1200, Galaxy Tab S6 Lite dikuasakan oleh cipset Samsung Exynos 9611.
Tarikan utama tablet ini adalah pada S Pen yang ditawarkannya. Pena ini mempunyai 4,096 tahap tekanan dan boleh dilekatkan secara magnetik di sisi tablet ini untuk dibawa ke mana sahaja.
Menurut laman web rasmi Samsung Malaysia, tablet ini menampilkan RAM 4GB bersama-sama storan dalaman 64GB, serta menyokong sehingga 1TB melalui storan kad mikroSD.
Galaxy Tab S6 turut dilengkapkan dengan kamera belakang 8MP dan kamera hadapan 5MP, bersama-sama bateri berkapasiti 7,040mAh.
Berdasarkan carian di pangkalan data SIRIM yang menyenaraikan variasi LTE dan Wi-Fi tablet ini, harga yang dinyatakan tersebut mungkin merujuk kepada versi Wi-Fi. Setakat ini versi LTE masih lagi belum muncul di laman web Samsung Malaysia.