Rangkaian restoran tempatan, Ahmad’s Fried Chicken, secara rasminya telah dijenamakan semula sebagai Ahmad’s HotChicken. Namun, perkembangan yang lebih mencuri tumpuan adalah pengumuman syarikat tersebut yang telah melantik sebuah entiti Kecerdasan Buatan (AI) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).
Berdasarkan pengumuman di laman Facebook rasmi syarikat, entiti AI tersebut dipertanggungjawabkan untuk menguruskan operasi harian dan pemasaran.
Di samping itu, CEO berteknologi tinggi ini akan membantu syarikat menganalisis data untuk membuat keputusan strategik dengan lebih pantas.
Setakat ini, maklumat terperinci mengenai struktur pelantikan ini masih terhad selepas pengumuman awal dibuat.
Pembukaan Cawangan dan Menu Baharu
Buat masa ini, Ahmad’s HotChicken memiliki 40 cawangan yang beroperasi di seluruh negara, merangkumi pasaran di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Seiring dengan penjenamaan semula ini, syarikat tersebut turut memperkenalkan kemas kini pada menu makanan mereka.
Menu baharu ini menawarkan pelanggan peluang untuk mencuba ayam goreng yang dimasak menggunakan Carolina Reaper, iaitu salah satu spesies cili terpedas di dunia. Bagi membuktikan tahap kepedasannya, pelanggan diwajibkan untuk menandatangani surat pelepasan tanggungjawab (waiver) sebelum dibenarkan mencuba hidangan tersebut.
Trend Global AI Dalam Pengurusan Korporat
Walaupun pelantikan AI sebagai pemimpin tertinggi syarikat kedengaran luar biasa di Malaysia, langkah ini sebenarnya telah pun dimulakan di peringkat antarabangsa.
Sebelum ini NetDragon WebSoft, sebuah syarikat teknologi pendidikan dan permainan video yang berpengkalan di Hong Kong, turut mengambil pendekatan serupa.
Syarikat tersebut telah melantik humanoid AI bernama Tang Yu sebagai CEO. Entiti tersebut diberikan tugas spesifik untuk mengendalikan pengurusan organisasi, automasi aliran kerja, memproses permohonan cuti pekerja, serta menyemak data syarikat.











