Gergasi teknologi Korea Selatan, Samsung, telah mengesahkan tarikh untuk acara Galaxy Unpacked yang seterusnya. Acara berprestij ini dijadualkan berlangsung di London pada Rabu, 22 Julai 2026, jam 2:00 petang (BST), bersamaan jam 9:00 malam waktu Malaysia.

Siaran langsung acara ini akan disediakan untuk tontonan umum melalui pelbagai platform rasmi termasuk Samsung Newsroom, laman sesawang rasmi, dan saluran YouTube Samsung Malaysia.

Seperti acara musim panas sebelum ini, fokus utama Galaxy Unpacked kali ini terarah kepada barisan telefon pintar boleh lipat jenama tersebut.

Imej dari OnLeaks (Android Headlines)

Berdasarkan petunjuk yang diberikan, Samsung dijangka akan memperkenalkan peranti dengan faktor bentuk skrin lebar baharu yang dipercayai merujuk kepada model Galaxy Z Fold8.

Di samping inovasi rekaan, syarikat itu juga menjanjikan pengalaman pengguna yang lebih peribadi dan adaptif melalui penyepaduan keupayaan Kecerdasan Buatan (AI) yang lebih meluas.

Barisan Telefon Pintar Generasi Baharu

Imej dari OnLeaks (Android Headlines)

Selain Galaxy Z Fold8 yang menampilkan skrin lebar, Samsung dijangka turut melancarkan Galaxy Z Fold8 Ultra sebagai kesinambungan kepada siri Galaxy Z Fold7 tahun lalu.

Pada masa yang sama, telefon pintar boleh lipat jenis cengkerang (clamshell) generasi seterusnya, iaitu Galaxy Z Flip8, dijangka turut membuat penampilan sulung dalam acara yang sama.

Dari segi spesifikasi peranti skrin lebar, maklumat tertiris mendakwa Galaxy Z Fold8 akan dimuatkan dengan bateri berkapasiti 4,800mAh serta tetapan dwi-kamera belakang.

Modul kamera ini dilaporkan terdiri daripada lensa utama 50-Megapiksel (MP) dan lensa ultra-lebar 50MP. Bagi memastikan prestasi yang optimum, Samsung dan Qualcomm memberi gambaran siri Galaxy Z Fold8 dan model Ultra akan dikuasakan oleh cip pemprosesan tersuai terbaharu, Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy.

Untuk model Galaxy Z Flip8 pula, Samsung berkemungkinan melaksanakan strategi serantau yang berbeza. Pasaran di Eropah dan Korea Selatan dijangka menerima varian yang menggunakan cip Exynos 2600. Manakala pasaran global yang lain termasuk Malaysia bakal menerima varian yang dikuasakan oleh siri cip Snapdragon.

Ekosistem Pintar dan Promosi Pelancaran

Imej dari Evan Blass melalui Substack

Berdasarkan trend pelancaran terdahulu, barisan peranti boleh lipat ini tidak akan diperkenalkan secara bersendirian. Acara ini dijangka menjadi pentas memperkenalkan generasi jam tangan pintar baharu, Galaxy Watch9 dan Galaxy Watch Ultra2.

Selain itu, terdapat kemungkinan Samsung akan mula mempamerkan prototaip kacamata yang dikuasakan AI, Galaxy Glasses. Walau bagaimanapun peranti boleh pakai tersebut dipercayai belum bersedia untuk pelancaran pasaran secara rasmi.

Menjelang acara bersejarah ini, Samsung sedang menawarkan kempen pendaftaran awal dengan pelbagai tawaran menarik.

  • Pendaftaran minat dibuka dari sekarang hingga 22 Julai 2026 pada jam 8:59 malam.
  • Pengguna yang mendaftar berpeluang memenangi pelbagai hadiah dengan nilai keseluruhan mencecah RM62,944.
  • Setiap pendaftaran yang melengkapkan proses akan menerima e-baucar bernilai RM120.
  • Pengguna juga boleh membelanjakan RM50 bagi mendapatkan Baucar Reservation+ bernilai RM250 yang sah digunakan untuk pembelian peranti boleh lipat Galaxy seterusnya, sah bermula dari sekarang sehingga 24 Julai 2026.

Maklumat lanjut, layari Samsung Malaysia.

Tinggalkan komentar