Xiaomi telah mengesahkan kehadiran siri Note 13 melalui sebuah halaman ‘countdown’ di laman web rasminya. Berdasarkan apa yang tertera, siri telefon pintar baharu tersebut akan diumumkan di pasaran tempatan pada 15 Januari 2023, jam 6 petang. Cuma tidak dapat dipastikan sama ada ketiga-tiga model di dalam siri tersebut akan menemui pengguna di Malaysia.
Siri ini terdiri daripada model standard, model Pro dan juga model Pro Plus. Kedua-dua model iaitu Note 13, dan Pro Plus telah pun menerima persijilan SIRIM, hanya model Pro sahaja yang masih lagi belum muncul di dalam pangkalan data persijilan tersebut.
Redmi Note 13 menampilkan skrin AMOLED 6.67-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 1,000 nits. Ia menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity 6080 dengan mempunyai bateri berkapasiti 5,000mAh dan sokongan pengecasan 33W. Untuk fotografinya pula, telefon pintar ini mempunyai kamera utama 108MP dan sensor berkedalaman.
Manakala bagi Redmi Note 13 Pro Plus pula, ia dilengkapkan dengan skrin OLED 6.67-inci 120Hz dengan tahap kecerahan puncak 1,800 nits. Pemprosesannya pula adalah MediaTek Dimensity 7200 Ultra dengan kapasiti bateri yang sama, 5000mAh. Sokongan pengecasannya pula lebih pantas iaitu 120W. Akhir sekali, model ini mempunyai kamera utama 200MP, kamera ultra lebar 8MP dan kamera makro 2MP.