realme C67 kini secara rasminya telah tiba di pasaran Malaysia setelah ia diperkenalkan di India tidak sampai sebulan yang lalu. Pelancaran di pasaran tempatan ini turut membawakan dua varian dengan dua warna pilihan iaitu Sunny Oasis dan Black Rock.
Dari segi spesifikasi, telefon pintar hadir dengan skrin LCD 6.72-inci beresolusi 1080p dengan kadar penyegaran semula skrin 90Hz dan tahap kecerahan puncak 950 nits. Paparannya juga hadir dengan ciri unik Mini Capsule seakan-akan Dynamic Island pada iPhone.
Di dalamnya, ia mengandungi pemprosesan Qualcomm Snapdragon 685 dengan RAM 8GB dan storan dalaman sehingga 256GB, selain turut menawarkan slot kad mikroSD. Dari segi ketersambungannya pula realme C67 menyokong 4G, Wi-Fi 5, NFC dan Bluetooth 5.0. Turut disediakan bicu audio 3.5mm untuk membolehkan anda memasang fon telinga secara berwayar.
Untuk fotografinya pula, telefon pintar ini dilengkapkan dengan kamera utama 108MP bersama-sama sensor berkedalaman pada belakangnya. Di hadapannya pula disediakan kamera 8MP. Sebuah bateri berkapasiti 5,000mAh turut disediakan dengan sokongan pengecasan berwayar 33W.
Harga realme C67 di Malaysia
realme C67 berharga RM799 untuk pilihan storan 128GB dengan pilihan storan 256GB pula ia ditawarkan dengan harga RM899. Jualannya secara rasmi bermula dari 6 Januari menerusi kedai dalam talian realme rasmi di Shopee, Lazada dan TikTok, serta wakil pengedar yang sah di seluruh negara.
Bermula dari 6 Januari sehingga 20 Januari, telefon pintar ini akan didatangkan bersama-sama sepasang fon telinga bagi pembelian secara luar talian. Bagi pembelian secara dalam talian pula, pengguna akan ditawarkan dengan sepasang fon telinga, waranti lanjutan dan sebuah ‘power bank’.