Qualcomm menerusi Persidangan Snapdragon Tahunan yang diadakan baru-baru ini telah memperlihatkan teknologi generasi berikutnya untuk pemprosesan mudah alih, realiti imbuhan dan audio. Selain itu, turut dipertontonkan kepada umum CPU generasi berikutnya untuk platform Snapdragon yang kini menggunakan nama kod Qualcomm Oryon.
CPU yang akan menjalani proses pembangunan ini merupakan hasil dari penyelidikan dan pembangunan selepas pengambilalihan syarikat Nuvia oleh Qualcomm pada awal 2021. Nuvia merupakan syarikat yang ditubuhkan oleh sekumpulan bekas jurutera Apple yang pernah menghasilkan siri pemprosesan Apple A.
CPU Oryon ini dijangka akan menjadi produk pertama yang dihasilkan oleh pasukan tersebut dan disangka akan hadir sekitar tahun hadapan.
Pun begitu, Qualcomm kini sedang berhadapan dengan beberapa isu perundangan melibatkan penggunaan lesen senibina dari ARM. Menurut ARM, Qualcomm tidak dibenarkan menggunakan hasil penyelidikan Nuvia tanpa kebenaran dari ARM kerna melanggar perjanjian perlesenan dan hak cipta.
Isu ini diharapkan dapat diselesaikan oleh semua pihak yang terlibat memandangkan pemprosesan berpotensi besar dalam menghasilkan peranti mudah alih yang lebih berkuasa dengan penggunaan tenaga yang lebih cekap. Malah, ia juga mampu membuka ruang yang lebih besar dalam penghasilan peranti Windows yang menggunakan pemprosesan ARM.