Utama Perkakasan Qualcomm Qualcomm sasar umumkan Cipset berasaskan Nuvia untuk Laptop pada 2022

Qualcomm sasar umumkan Cipset berasaskan Nuvia untuk Laptop pada 2022

402
0

Qualcomm baru-baru ini mengumumkan akan menghasilkan pemprosesan berasaskan Nuvia untuk laptop pada tahun depan. Kenyataan ini hadir beberapa hari selepas pengumuman Snapdragon 888+ yang menawarkan klok lebih tinggi dan prestasi pembelajaran mesin yang dipertingkatkan.

Mac lalu, Qualcomm telah melengkapkan pengambilalihan Nuvia melalui pembelian saham pada nilai US$1.4 billion (~RM5.83 billion). Menerusi satu wawancara bersama Reuters, Cristiano Amon, Ketua Pegawai Eksekutif Qualcomm mensasarkan cipset berasaskan Nuvia tersebut mampu bersaing dengan cipset Apple M1.

Ini bukanlah usaha pertama Qualcomm dalam menghasilkan rekaan dan fabrikasi pemprosesan khusus untuk laptop. Sebelum ini, Qualcomm telah melaksanakannya menerusi Snapdragon 8cx pada tahun 2018. Tahun berikutnya, Microsoft mengumumkan laptop Surface Pro X yang menggunakan cipset SQ1, yang secara teknikalnya merupakan Snapdragon 8cx yang diubahsuai.

Bagi mencapai apa yang dihajatkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif baharunya ini, Qualcomm perlu sekurang-kurangnya menghasilkan cipset yang mempunyai 40% lebih Instructions per clock (IPC) berbanding CPU Intel Core Gen Ke-10 atau AMD generasi Zen 2. Selain itu CPU berkenaan juga perlu mempunyai prestasi penggunaan bateri seperti cipset Apple M1.

Pada masa yang sama, Qualcomm juga masih lagi meneruskan hubungan baiknya dengan ARM. Jika rekaan dari ARM kelak mampu menawarkan kecekapan dan prestasi seperti yang diinginkan, sasaran tersebut mungkin mampu dicapai.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.