Qualcomm telah melancarkan rasmi cip pemprosesan mudah alih baharu, Snapdragon 6 Gen 5 dan Snapdragon 4 Gen 5. Cip baharu ini direka khusus untuk memperkasakan segmen pasaran telefon pintar kelas menengah atas dan kelas permulaan.

Pemprosesan baharu ini menawarkan prestasi yang lebih pantas, pengalaman permainan yang lebih lancar. Malah kecekapan tenaganya lebih baik pada titik harga yang lebih rendah.

Pengenalan cip generasi kelima ini merupakan inisiatif Qualcomm untuk membawa ciri-ciri premium yang sering dikaitkan dengan peranti mercu (flagship) kepada pengguna telefon pintar bajet.

Kedua-dua cipset ini dibangunkan menggunakan teknologi fabrikasi 4nm. Piawaian pembuatan terkini tersebut menjanjikan pengurusan haba dan kecekapan bateri yang jauh lebih optimum.

Peranti terawal yang bakal dilengkapkan dengan rangkaian cip baharu ini dijangka akan menembusi pasaran komersial pada separuh masa kedua tahun 2026.

Snapdragon 6 Gen 5

Snapdragon 6 Gen 5 menawarkan peningkatan prestasi Unit Pemprosesan Grafik (GPU) sehingga 21%, keupayaan melancarkan aplikasi 20% lebih pantas, dan pengurangan masalah gagap skrin (screen stutter) sebanyak 18%.

Ia dipacu oleh lapan teras CPU Kryo (empat teras prestasi pada kelajuan 2.6GHz dan empat teras kecekapan pada 2.0GHz). Sokongan penggunaan penderia kamera sehingga 200MP juga disediakan. Bersama-sama sokongan rakaman video 4K HDR pada 30 bingkai sesaat. Serta sambungan tanpa wayar terkini, Wi-Fi 7 dan Bluetooth 6.0.

Snapdragon 4 Gen 5

Cip ini pula disasarkan untuk peranti bajet. Ia membawakan lonjakan spesifikasi dengan menawarkan peningkatan prestasi GPU sebanyak 77%.

Untuk pelancaran aplikasi pula, ia memberikan peningkatan 43% lebih pantas, dan kurang gagap skrin sehingga 25% berbanding generasi sebelum ini.

Kedua-dua model pemproses cip ini dilengkapkan dengan keupayaan kecerdasan buatan (AI) yang dinaik taraf. Fungsinya dikhususkan untuk menyokong ciri fotografi pintar dan permainan berkuasa tinggi. Turut disertakan ciri Smooth Motion UI yang direka untuk memastikan navigasi antaramuka bebas lengah.

Telefon pintar yang menggunakan Snapdragon 6 Gen 5 dijangka akan membuat penampilan pertama melalui telefon pintar Honor dan REDMI. Manakala cip Snapdragon 4 Gen 5 pula disahkan akan ditawarkan pada telefon pintar yang akan datang daripada OPPO, realme, dan juga REDMI.

 

Tinggalkan komentar