Qualcomm secara rasminya telah mengumumkan cip pemprosesan baharu Snapdragon 8 Elite Gen 5 For Galaxy. Ia akan menguasakan telefon pintar mercu Samsung Galaxy S26 Ultra di peringkat global.

Pengumuman ini dibuat seiring dengan pelancaran siri peranti tersebut semasa acara Galaxy Unpacked pada jam 2 pagi semalam. Sekali gus menamatkan spekulasi mengenai perkakasan utama yang akan digunakan oleh gergasi teknologi Korea Selatan tersebut.

Cip ini direka khas melalui kerjasama strategik antara Qualcomm dan Samsung bagi mengoptimumkan prestasi peranti. Tumpuan utamanya bagi menyokong keupayaan kecerdasan buatan (AI) yang lebih menyeluruh.

Menurut Qualcomm, cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang dioptimumkan untuk peranti Galaxy ini mampu menyampaikan pengalaman Galaxy AI terkini. Ia menawarkan cadangan yang relevan serta mengendalikan tugasan latar belakang bagi pihak pengguna. Keupayaan ini direka untuk beroperasi secara lancar dan cekap.

Unit pemprosesan pusat (CPU) Qualcomm Oryon Generasi Ketiga diadun bersama GPU Qualcomm Adreno dan NPU Qualcomm Hexagon termaju. Ia dibina untuk aliran kerja yang lebih pantas serta pengalaman AI yang diperibadikan.

Kamera peranti juga dipertingkat untuk menyokong keupayaan rakaman Advance Professional Video (APV) untuk hasil visual bertaraf profesional.

Sistem ketersambungan mudah alih FastConnect 7900 yang ada padanya pula memastikan interaksi harian peranti lebih pantas dan responsif.

Seterusnya Qualcomm Smart Transmit disediakan untuk engoptimumkan kuasa muat naik merentasi rangkaian 5G, Wi-Fi, Bluetooth, dan satelit. Liputan dan prestasi dapat dipertingkat tanpa gangguan serta tanpa mengorbankan kecekapan atau keselamatan bateri.

Hanya Galaxy S26 Ultra dilengkapkan dengan cip premium ini di seluruh dunia. Manakala model Galaxy S26 dan Galaxy S26+ pula di kebanyakan pasaran menggunakan Samsung Exynos 2600 termasuk Malaysia.

Tinggalkan komentar