Qualcomm secara rasminya telah melancarkan platform siri cip pemprosesan baharunya, Snapdragon X2. Ia direka khusus untuk Komputer Peribadi (PC) berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Siri ini menjanjikan peningkatan prestasi yang luar biasa dan jangka hayat bateri yang panjang. Turut disediakan keupayaan AI termaju pada peranti yang bersesuaian dengan keperluan pengguna moden.
Evolusi Perkomputeran AI dan Prestasi Sebenar
Kehadiran PC AI yang dikuasakan oleh Siri Snapdragon X2 dibina di atas arkitektur yang mengutamakan kecekapan (efficiency-first). Hasilnya, reka bentuk peranti berpotensi untuk menjadi lebih nipis, ringan, serta beroperasi dengan senyap dan tidak mudah panas.
Siri pemprosesan ini juga membawakan pengoptimuman untuk tujuan produktiviti dan hiburan. Sokongan juga diberikan untuk permainan video (gaming) moden yang lebih baik.
Ketua Jualan dan Pemasaran, Asia Tenggara Qualcomm Technologies, Inc., Alicia Lim, menyatakan pasaran kini tidak lagi sekadar melihat kepada spesifikasi di atas kertas. Pasaran kini memfokuskan kepada bagaimana sesebuah peranti berfungsi di dunia sebenar.
Beliau menjelaskan Siri Snapdragon X2 dibangunkan khusus untuk menyeimbangkan prestasi yang efisien, mudah alih, dan kelajuan memproses AI. Tujuannya untuk menyesuaikan dengan cara profesional moden dan pelajar bekerja serta mencipta kandungan.
Penawaran Varian Siri Snapdragon X2
Siri baharu ini didatangkan dengan dua varian utama yang menyasarkan tahap penggunaan yang berbeza, iaitu Snapdragon X2 Elite dan Snapdragon X2 Plus.
Snapdragon X2 Elite merupakan cip kelas premium yang direka untuk kuasa pemprosesan ekstrem dan tugasan berprestasi tinggi.
Varian Elite ini menyokong kelancaran peranti kelas Copilot+ untuk sistem operasi Windows serta mempunyai binaan memori cache yang diperluaskan untuk kelajuan produktiviti maksimum.
Sementara itu, Snapdragon X2 Plus pula mengimbangi keperluan prestasi harian dengan keupayaan mobiliti tanpa batasan. Model Plus ini cemerlang dalam memproses fungsi ejen AI, dan penjanaan kandungan pelbagai mod. Pengalaman menyunting foto dan video juga dipertingkatkan dalam pada masa yang sama mengekalkan kadar penggunaan tenaga yang sangat rendah.
Kedua-dua siri ini dilengkapkan dengan NPU (Unit Pemprosesan Neural), iaitu unit mikrocip yang dikhaskan sepenuhnya untuk memproses data AI secara pantas di dalam peranti.
Keselamatan pengguna juga terjamin menerusi perlindungan cip ke awan menggunakan Pemprosesan Keselamatan Qualcomm (SPU) dengan teknologi Microsoft Pluton serta Teknologi Snapdragon Guardian.
Ia juga disokong oleh sambungan internet berprestasi tinggi menerusi modem 5G Snapdragon X75 dan teknologi Wi-Fi 7.
| Spesifikasi Teknikal | Snapdragon X2 Elite | Snapdragon X2 Plus |
|---|---|---|
| Kapasiti Teras CPU (Qualcomm Oryon) | Sehingga 18 teras | Sehingga 10 teras |
| Kelajuan Frekuensi CPU Maksimum | Sehingga 5.0 GHz | Sehingga 4.0 GHz |
| Kelajuan Pemprosesan AI (NPU) | Sehingga 85 TOPS (Trilion Operasi Per Saat) | 80 TOPS |
| Pemprosesan Grafik (GPU Adreno) | Siri X2-90, kelajuan sehingga 1.85 GHz | Siri X2-45, kelajuan sehingga 1.70 GHz |
Ketersediaan di Pasaran Malaysia
Pengguna di Malaysia kini sudah boleh mula membeli PC AI yang dikuasakan oleh Siri Snapdragon X2 melalui pelbagai pilihan harga dan reka bentuk. Peranti-peranti ini ditawarkan oleh jenama teknologi terkemuka seperti Acer, ASUS, HP, Lenovo, dan Microsoft. Antara model terbaharu yang disahkan tiba di pasaran tempatan termasuklah komputer riba ASUS Zenbook A16, Lenovo IdeaPad 5 2-in-1, dan Lenovo Yoga Slim 7x.
Bagi pengguna yang berminat, peranti kelas AI ini boleh didapati secara meluas melalui peruncit-peruncit utama barangan teknologi di seluruh negara, termasuklah Harvey Norman, Thunder Match (TMT), dan PC Image.











