Utama Android Oppo OPPO Find N3 Flip dilancarkan secara rasminya Hari ini

OPPO Find N3 Flip dilancarkan secara rasminya Hari ini

70
0

Selepas dihujani dengan pelbagai desas-desus maklumat yang tertiris serta imej acahnya, OPPO secara rasminyal telah melancarkan telefon pintar boleh lipat ‘clamshell’ generasi berikutnya, Find N3 Flip di China. 

Menariknya, model baharu ini hadir tidak sampai setahun selepas generasi sebelumnya dilancarkan, Malah, model kali ini juga membawakan perubahan besar dengan menampilkan perkakasan serba baharu dengan lebih banyak fungsi.

OPPO Find N3 Flip menampilkan ciri luaran yang hampir sama dengan sebelumnya terutama dari segi ukurannya. Perbezaan paling ketara adalah pada penambahan ruang kamera berbentuk bulatan bersebelahan dengan skrin luarannya.

Turut ditambah penggelangsar (slider) pemberitahuan tiga tahap pada sisi kanan ‘cover’ (atau kiri mengikut posisi pilihan pengguna apabila dilipat.

Tiada perubahan pada saiz skrin luaran dan dalamannya. Seperti Find N2 Flip, ia menampilkan panel skrin menegak AMOLED 3.26-inci beresolusi 720 x 382 piksel dengan kadar penyegaran semula skrin 60Hz dan kadar pensampelan sentuhan 120Hz. Ia dilindungi oleh kaca Corning Gorilla generasi ke-7.

Di dalamnya pula, paparan boleh lipat LTPO AMOLED 6.8-inci beresolusi 2520 x 1080 piksel dengan kadar penyegaran semula adaptif 120Hz, kadar pensampelan sentuhan sehingga 240Hz dan perlindungan kaca ultra nipis (UTG).

Fungsi baharu, perkakasan baharu

OPPO turut menyatakan skrin luarannya kini menampilkan lebih fungsi bagi membolehkan pengguna mengakses ke pelbagai aplikasi dan widget untuk navigasi, media sosial dan sebagainya.

Di dalamnya, Find N3 Flip menggunakan cipset Dimensity 9200 bersama-sama RAM LPDDR5X 12GB dan storan dalaman sehingga 512GB. Selain itu, ia juga didatangkan dengan Android 13 melalui ColorOS 13.2, sokongan 5G, WiFi 7 dan Bluetooh 5.3. Ia dikuasakan oleh bateri 4,300mAh dengan pengecasan pantas 44W melalui USB-C.

Untuk fotografinya pula, kamera-kamera yang ditempatkan di dalam ruang bulatan tersebut merupakan kamera yang diperkaya dengan teknologi Hasselblad. Ia terdiri daripada satu kamera utama 50MP dengan OIS, kamera ultra lebar 48MP dengan sudut pandang 114-darjah, dan kamera telefoto 32MP dengan zum optikal 2x dan zum digital sehingga 20x. Pada sebelah paparan sebelah hadapannya pula terdapat sebuah kamera 32MP.

Harga OPPO Find N3 Flip

OPPO Find N3 Flip akan mula dijual di pasaran China bermula dari 8 September 2023 dan boleh didapati dengan tiga pilihan warna iaitu Black, Gold dan Rose

  • OPPO Find N3 Flip (RAM 12GB, storan 256GB) – CNY6,799 (~RM4,330)
  • OPPO Find N3 Flip (RAM 12GB, storan 512GB) – CNY7,599 (~RM4,840)

Pelancaran ke pasaran global dikatakan akan dilancarkan tidak lama lagi menurut pihak OPPO. Namun, tiada sebarang tarikh sebenar mengenai perkara tersebut dinyatakan secara rasmi setakat ini.

SUMBEROPPO China
Artikel sebelum iniPakej 5G Rahmah ditawarkan bermula dari 31 Ogos hingga akhir tahun ini, Sedia Data 60GB RM60 sebulan dengan Kontrak 24 bulan
Artikel seterusnyaApple Event akan diadakan pada 13 September ini, jam 1 pagi waktu Malaysia; Dijangka perkenalkan iPhone 15 dengan USB-C
Penulis berpengalaman di dalam bidang teknologi maklumat selama 12 tahun dan kerap mengikuti perkembangan teknologi semasa baik di dalam Malaysia mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.