Rasmi! Apple telah mengumumkan acara tahunannya akan diadakan pada 13 September 2023, jam 1 pagi waktu Malaysia. Seperti biasa, acara ini akan berlangsung di Steve Jobs Theatre di Apple Park, Cupertino, Amerika Syarikat.
Bertemakan “Wonderlust” seperti yang tertera di dalam jemputan kepada media-media terpilih, acara pada tahun ini dijangka menonjolkan siri iPhone 15 yang amat dinanti-nantikan oleh peminat.
Model ini juga dikatakan akan membawakan perubahan besar pada iPhone dengan memperkenalkan port USB Type-C menggantikan Lightning. Perubahan ini dilaksanakan untuk mematuhi ketetapan undang-undang yang dibuat oleh Kesatuan Eropah (EU).

Lain-lain pembaharuan yang dijangka turut diperkenalkan termasuklah ciri Dynamic Island pada seluruh model iPhone 15, berbeza dengan siri sebelum ini yang hanya menawarkan pada model iPhone 14 Pro dan 14 Pro Max.
Nantikan Apple Event pada 13 September 2023, jam 1 pagi waktu Malaysia menerusi saluran-saluran rasmi dalam talian Apple.