OnePlus dan Realme dilaporkan telah menggabungkan operasi mereka secara rasmi di peringkat global dan domestik. Ia dilaksanakan lewat bulan April 2026 bagi meningkatkan kecekapan serta menyelaraskan barisan produk mereka.
Langkah strategik ini menyaksikan kedua-dua jenama akan bernaung di bawah satu “pusat sub-produk” yang baharu. Ia bagi mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri peranti mudah alih.
Penggabungan ini juga merangkumi penyatuan pasukan pemasaran dan perkhidmatan bagi mengoptimumkan sumber. Pasukan yang digabungkan ini akan melapor terus kepada pengurusan tertinggi, Pete Lau (Liu Zuohu).
Menurut pentiris maklumat, Digital Chat Station, integrasi operasi perniagaan ini turut melibatkan penyatuan keseluruhan operasi perniagaan global dan pasaran domestik di China.
Guna semula teknologi dan barisan produk di antara kedua-dua jenama juga diberikan tumpuan sepenuhnya. Rangkaian jabatan seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perkhidmatan selepas jualan turut digabungkan untuk memangkas kos pengurusan dan logistik.
Walaupun operasi kini disepadukan dengan lebih rapat, kedua-dua syarikat dijangka akan terus memasarkan peranti menggunakan identiti jenama masing-masing.









