Rakyat Malaysia tidak lama lagi berpeluang untuk berinteraksi dengan versi digital Perdana Menteri Anwar Ibrahim melalui PMX AI.

Ia merupakan sebuah avatar digital dikuasakan kecerdasan buatan (AI) yang direka khas untuk meniru gaya komunikasi, nada, dan bahasa Perdana Menteri.

Dibangunkan oleh Kepakaran Tempatan

Platform inovatif ini dibangunkan oleh syarikat teknologi tempatan, Zetrix AI Bhd dengan kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sistem PMX AI dilaporkan telah siap dibangunkan dan sedang menunggu pelancaran rasminya dalam masa beberapa hari lagi.

Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix, TS Wong menjelaskan avatar ini dikuasakan oleh model pengetahuan peribadi yang sentiasa dikemas kini dengan ucapan serta kenyataan umum terkini Anwar bagi memastikan maklum balasnya kekal konsisten dan relevan.

Berbeza dengan bot sembang biasa, PMX AI menggabungkan rangka kerja agentic AI atau AI berstruktur ejen. Sistem tersebut berupaya melaksanakan tugas berbilang langkah secara bebas dengan campur tangan manusia yang sangat minimum. Dalam pada masa yang sama mengekalkan pemahaman konteks sepanjang interaksi dengan pengguna.

Keupayaan ini dicapai setelah ia dilatih secara komprehensif menggunakan pangkalan data ucapan, kenyataan bertulis, dan penjelasan dasar Perdana Menteri.

Fungsi Pembantu Perkhidmatan Kerajaan akan diperkenalkan bersama 

Lebih daripada sekadar avatar untuk perbualan santai, PMX AI disasarkan untuk berfungsi sebagai pembantu digital interaktif bagi pelbagai perkhidmatan kerajaan.

Antara fungsi utama yang dirancang termasuklah membantu pengguna menavigasi prosedur birokrasi, memperbaharui lesen memandu, memudahkan urusan pembayaran digital, dan memberikan pengesahan transaksi sebaik sahaja ia selesai.

Bagi memastikan keterangkuman untuk seluruh rakyat, platform ini direka untuk berkomunikasi secara fasih dalam dua bahasa utama iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Lebih mesra rakyat, sistem AI ini juga berkemampuan untuk mengecam dan memahami dialek setempat, slanga tempatan, serta ungkapan harian yang sering digunakan oleh masyarakat di Malaysia.

Tinggalkan komentar